suria

Menangis teresak-esak di hari konvo, pemuda tak sangka pak guard garang dapat pujuk... selepas 3 tahun hajat tercapai – “Tak mahu kejadian berulang, saya bawa famili ke Sydney”

Fairuz mengimbas semula kenangannya sewaktu majlis konvokesyen di universiti. -foto ihsan Mohammad Fairuz Junaidi

MAJLIS konvokesyen pastinya menggamit kenangan terindah buat mereka yang menamatkan pengajian di universiti.

Namun, seorang pemuda melalui pengalaman yang menyayat hati apabila detik manis menerima skrol di atas pentas tidak dapat disaksikan oleh keluarganya.

Berkongsi pengalaman, pemuda itu, Mohammad Fairuz Junaidi berkata, kejadian berlaku selepas tamat pengajian peringkat Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital pada majlis konvokesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor pada 2009.

ARTIKEL BERKAITAN: Lambaian Uncle Sri dirindui, ada pelajar UPM menangis, sanggup cari nak tunjuk tesis

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya... selepas tesis kena 'reject' 3 kali, pelajar pusing satu UPM cari Uncle Sri

Bagaimanapun, pemuda berusia awal 30-an itu mengakui sedih kerana majlis tersebut tidak disertai oleh keluarganya di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.



Jubah universiti yang mengingatkan Fairuz mengenai kenangan konvokesyen.

"Saya tahu famili tak dapat datang sehari sebelum majlis, masa tu saya okay je. Tapi bila tiba hari konvo, saya mula sebak bila tengok rakan-rakan dengan keluarga masing-masing.

"Perasaan sebak saya ditahan-tahan sehingga naik ke pentas terima skrol. Tapi bila semua keluar dewan tengok kawan-kawan peluk keluarga masing-masing dengan hadiah dan bunga, saya tak boleh tahan dah," katanya kepada mStar sambil menambah dia merupakan pelajar di UiTM cawangan Melaka.

Lebih mesra disapa Fairuz, katanya, dia kemudian pergi ke kawasan parkir berdekatan dewan bagi menenangkan perasaannya bersendirian.



Banyak kenangan suka duka Fairuz pada majlis konvokesyen.

"Masa tu saya duduk di tembok batu dan menangis teresak-esak. Tiba-tiba ada orang tegur dari belakang macam nak marah. Pak guard (pengawal keselamatan) di universiti memang terkenal dengan garangnya, susah nak cari yang friendly (mesra).

"Bila pak guard tu datang ke depan tengok saya menangis teresak-esak, personaliti dan riak mukanya yang garang berubah sama sekali," ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, pengawal keselamatan berbadan gempal dengan ketinggian sederhana serta berkulit sawo matang itu kemudian duduk di sebelahnya.



Sebahagian keluarga yang hadir pada majlis konvokesyen di University of Sdyney.

Kata Fairuz, sesekali pengawal keselamatan berusia lewat 30-an itu menepuk-nepuk bahunya sebagai cubaan memujuk untuk menenangkannya.

"Tak sangka pak guard yang pada mula garang itu memujuk saya dan beri kata-kata semangat. Walaupun sekejap, tapi saya rasa tenang.

"Saya masih ingat keperibadian dia yang baik hati tu. Sepanjang lima tahun saya di UiTM, hanya sekali tu saja saya bertemu dengan pak guard tu.

Setiap kali melihat jubah konvo, saya terkenang pertemuan singkat saya bersama pak guard garang tu

MOHAMMAD FAIRUZ JUNAIDI

"Di manalah dia sekarang. Harapnya dia sihat bersama keluarga. Saya doakan dia sentiasa dimurahkan rezeki dan kalau ada anak, moga anaknya itu berjaya nanti," katanya sambil menambah keluarganya hadir pada majlis konvokesyennya di UiTM pada 2011 selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik dan Media Digital.

Fairuz yang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Penerbitan di Universiy of Sydney di Sydney, Australia kemudian mengambil keputusan untuk membawa sebahagian keluarganya menyaksikan majlis konvokesyennya di negara Kangaroo itu, pada 2015.



Fairuz (kanan) bersama keluarganya di Sydney.

Tambahnya, semua perbelanjaan termasuk tiket penerbangan ditanggungnya, hasil simpanan dengan upah bekerja sebagai 'housekeper' sepanjang tempoh pengajiannya selama setahun di Sydney.

"Tak mahu kejadian sedih berulang, jadi saya bawa famili termasuk mak ke Sydney tengok saya konvo. Memang saya dah nekad sampai habis kosong baki akaun bank saya.

"Tapi saya puas hati dan gembira sebab famili ada bersama pada hari saya konvo. Walaupun tak menangis teresak-esak macam konvo diploma dahulu, tapi kenangan saya dipujuk pak guard garang tu memang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila.

"Saya beli jubah konvo di University of Sydney untuk simpanan peribadi. Setiap kali lihat jubah tu, saya terkenang pertemuan singkat bersama pak guard garang tu," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Pemain EPL ditahan atas 2 dakwaan rogol