suria

"Semoga Allah beri kesabaran, saya enggan ulas atau bidas sebab ustaz dah jelaskan" - Siti Nurhaliza jawab isu solat tanpa telekung

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih untuk tidak memanjangkan isu tular melibatkan dirinya ketika menunaikan solat dengan mengenakan jubah tanpa telekung baru-baru ini. 

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, berkata beliau enggan membalas atau membidas komen yang timbul kerana perkara itu sudah dijelaskan oleh agamawan yang mengesahkan ibadahnya adalah sah.

“Berkaitan dengan ibadat ini saya tak perlu nak membalas semula sebab ustaz pun dah jelaskan. Sebagai umat Islam kita patut tahu apa yang sepatutnya, tapi dalam masa sama saya masih lagi memperbaiki diri dan amalan saya. 

"Apa yang saya harapkan semoga Allah semakin memberikan saya kekuatan dan kesabaran sebab bukan mudah menjadi anak seni dalam dunia yang makin mencabar ini. Setiap apa yang kita lakukan pasti akan jadi tumpuan.

Isu solat tanpa telekung yang tular tidak menggugat ketenangan Siti.

"Bulan Ramadan yang mulia ini, kita husnuzon' saja. Kadang-kadang bila ada yang menegur itu, saya setuju juga supaya kita melihat kekurangan diri. 

"Apapun saya tidak akan mengulas atau membidas sebab ustaz pun dah jelaskan. Rasanya jawapan ustaz itu sudah cukup untuk mereka memahaminya,"katanya kepada mStar. 

Siti berkata demikian Ketika ditemui pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin yang diadakan di Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur pada Khamis.

Ditanya mengenai isu tersebut yang hangat diperdebatkan di media sosial, Siti menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang normal dalam dunia digital hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mana telekung? Foto Siti Nurhaliza sembahyang berjubah curi perhatian... Ramai belum ‘khatam’ garis panduan aurat wanita dalam solat

ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa dia buat begitu, apa salah saya pada dia?” - Siti Nurhaliza

“Itu memang normal lagi-lagi zaman media sosial, dah jadi satu trend. Semua orang suka untuk berkongsi pandangan, cuma jangan sampai jatuh fitnah sajalah.

"Bagi saya dunia media sosial ini pasti ada suka dan duka serta asam garam yang perlu ditempuh. Kalau kita menulis sampai jatuh fitnah dan mendatangkan dosa kepada diri sendiri, kita kena cepat-cepat sedar serta tahu apa yang perlu dilakukan,"katanya. 

Tidak mudah melenting dan kekal tenang menempuh setiap ujian yang berlaku, Siti berkata salah satu sebab beliau mampu menahan kesabaran itu adalah pengalaman lalu yang banyak mendidik dirinya seperti hari ini. 

“Mungkin saya dah ada pengalaman menghadapi situasi seperti ini daripada dulu lagi. Cuma hal berkaitan ibadah ini saya rasa lebih baik tak payah beri apa-apa respons. Sebab itulah saya biarkan saja dan serahkan kepada orang yang lebih bijaksana mungkin boleh jelaskan. 

Siti menyerahkan penjelasan hukum kepada pihak lebih arif dan enggan membidas netizen.

"Saya bimbang kalau saya yang jelaskan mungkin boleh jadi satu kesalahan pula disebabkan cara penjelasan yang berbeza. Jadi lebih baik saya diam saja,"katanya. 

Sebelum ini tindakan Siti menunaikan solat dengan mengenakan jubah tanpa telekung mengundang persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai ibadah tersebut.

Bagaimanapun Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim tampil mengesahkan solat penyanyi nombor satu negara itu adalah sah kerana syarat sah solat bagi wanita adalah menutup aurat dengan sempurna, manakala pemakaian telekung bukanlah satu kewajipan daripada sudut hukum.

Terdahulu, tular beberapa gambar memaparkan Siti menunaikan solat dengan hanya berjubah hingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. 

 

Artikel Lain