suria
mStar - Urban.Versatil

Suami Heliza Helmi tak mengaku salah berniaga sekuriti tanpa lesen, dibenar ikat jamin RM100,000

Mahadi tampil mengenakan pelitup muka semasa di mahkamah.

SUAMI kepada pelakon dan penyanyi Datin Seri Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul berdepan dua pertuduhan berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Mahadi, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan AUF MBZ Consortium PLT bukan seorang pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan juga bukan seorang orang berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti yang mana tertuduh sebagai wakil syarikat itu adalah disifatkan telah melakukan kesalahan tersebut.

Mahadi mengaku tak bersalah dengan kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh dipercayai melakukan kesalahan tersebut di sebuah villa di Sunway South Quay, Subang Jaya antara antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023 serta 3 September 2021 dan 15 Februari 2024. 

Pertuduhan dibuat mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama subseksyen 367(1) akta sama dan boleh dihukum bawah subseksyen 58(4) akta serupa.

Sekiranya disabitkan bersalah, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjarakan selama tidak melebihi 10 atau kedua-duanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Yakin misi Global Sumud Flotilla akan selamat, suami Heliza Helmi tenang dapat berita isteri ditahan - "Mereka tak berani lakukan perkara ekstrem"

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Heliza Helmi bukan ‘scammer’, turut ditipu sampai rugi lebih RM20 juta

Mahkamah kemudian membenarkan Mahadi membayar RM100,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sekali setiap bulan.

Sebelum ini, media melaporkan syarikat milik Mahadi tidak mempunyi lesen atau berdaftar dengan SC untuk menjalankan sebarang aktiviti terkawal.

Sementara itu, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar turut didakwa bersubahat berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah.

Mohd Daud, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dijadapan Hakim Norma.

Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar turut tidak mengaku bersalah.

Dalam pertuduhan tersebut, Mohd Daud didakwa menjadi wakil syarikat aktiviti jual beli komoditi, Energy Eco Berhad, telah bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT, apabila AUF MBZ telah menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti.

Difahamkan AUF MBZ bukan seorang pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan juga bukan seorang orang berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti, di mana kesalahan AUF MBZ Consortium PLT dilakukan akibat persubahatan Energy Eco.

Mohd. Daud sebagai wakil Eco Energy ketika berlakunya kesalahan berkenaan, disifatkan telah melakukan kesalahan terbabit.

Dia diarahkan membayar RM50,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SCsekali setiap bulan.

Tarikh 10 April depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes. 

 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain