suria

Suami Heliza Helmi bukan ‘scammer’, turut ditipu sampai rugi lebih RM20 juta

Mahadi akhrinya bersuara mengenai tuduhan terhadap dirinya.

SUAMI kepada pelakon Datin Seri Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman tampil menjelaskan dirinya bukanlah dalang pelaburan yang dikaitkan dengan sebuah syarikat.

Sebaliknya, Mahadi, 40, memberitahu dia juga menjadi mangsa dan berdepan kerugian lebih RM20.7 juta kerana melabur dalam dua entiti berkaitan di syarikat berkenaan antara tahun 2021 hingga 2023.

Kata Mahadi, dia terjebak dengan pelaburan itu kerana terpengaruh terhadap struktur dan dokumentasi yang kelihatan sah serta meyakinkan.

Mahadi turut jadi mangsa penipuan.

“Kami diberi taklimat oleh pihak syarikat, lengkap dengan surat perjanjian, pengesahan penasihat syariah dan semua dokumen yang nampak teratur.

“Kalau tidak, saya sendiri tidak akan berani melabur sebanyak itu,” katanya semasa  sidang media di Pejabat Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) pada Isnin.

Menurut Mahadi, dia juga berperanan sebagai perantara yang memperkenalkan pelabur kepada sebuah syarikat tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami bertuah bertemu jodoh dengan Heliza Helmi, anggap isteri bidadari dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Belum diberi rezeki cahaya mata, Heliza Helmi pelihara kucing sebagai ganti

Pun begitu, segala urusan pelaburan termasuk pembayaran dan penyerahan dokumen dilakukan secara langsung antara pelabur dan syarikat.

“Saya tidak pernah memegang wang pelabur atau terlibat dalam urusan kewangan mereka. Saya bukan pengasas, bukan pemilik syarikat dan bukan orang yang mengumpul duit. 

"Saya hanyalah perantara jambatan yang menyambungkan pelabur kepada syarikat yang saya sendiri percaya pada waktu itu,” katanya lagi.

Saya jaga nama saya selama ini.

DATUK SERI MAHADI

USAHAWAN

Dalam pada itu, Mahadi memberitahu dia kini berdepan rasa bersalah kerana memperkenalkan skim tersebut kepada orang ramai.

Lebih mengecewakan lagi apabila golongan pesara, ibu tunggal dan individu yang menggunakan wang simpanan terakhir menjadi mangsa datang bertemu dengannya untuk mengadu.

Malah, pihaknya sudah membuat laporan polis dan sedia berkerjasama bagi membantu siasatan.

Ramai mangsa datang mengadu kepada Mahadi.

“Saya rasa sangat bersalah. Ramai kenal saya dan percaya kepada saya. Saya pula percaya kepada syarikat itu tapi akhirnya saya pun terkena.

“Saya jaga nama saya selama ini. Hari ini saya dikecam, dihukum di media sosial. Tapi saya tidak akan lari. Saya akan terus beri kerjasama dan bantu pelabur dapatkan keadilan,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain