suria

Pelik mesin ATM dalam ‘hutan’ sampai tak berani keluar kereta, gadis siap pergi semula waktu siang... terkejut, rupa-rupanya dekat kubur! – “Seram fikir nampak hantu”

(gambar kiri dan tengah) Kawasan sekitar mesin ATM pada waktu malam. (gambar kanan) Tanah perkuburan terletak berdekatan.

PERASAAN bercampur-baur apabila memasuki kawasan yang begitu asing dan terpencil.

Begitulah yang dialami seorang gadis ketika berkunjung ke satu lokasi yang menempatkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pada waktu malam.

"Bank dalam hutan macam ni. Tengok kiri kanan I ni semuanya gelap. Memang saya tak turun, saya takut," katanya menerusi video TikTok yang dirakamkan dari dalam kereta.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! Penduduk kampung seram, takut keluar malam gara-gara 'pocong' - "Misteri macam pintu rumah kena ketuk"

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Selepas Sabak Bernam, misteri ketukan pintu didakwa beralih ke Negeri Sembilan... penduduk dinasihat 'jika diketuk 7 kali jangan buka', ini jawab Rukun Tetangga

Gadis berkenaan, Aisyah Abdullah memberitahu, rakaman dibuat ketika berkunjung ke rumah sewa kakak angkatnya di sebuah kampung di Bukit Besi di Dungun, Terengganu.



Kawasan sekitar dikelilingi pokok-pokok.

Berkongsi pengalaman, katanya, dia ketika itu menemani kakaknya yang mahu mengeluarkan wang di sebuah mesin ATM di kampung berkenaan, kira-kira pukul 9 malam.

"Masa kami mula-mula sampai di situ, tak ada orang pun. Keadaan memang gelap-gelita, hanya ada satu lampu di mestin ATM dan satu lagi dekat blok bangunan tersebut.

"Ada kedai runcit bersebelahan, tapi dah tutup awal. Dan satu premis yang hanya menempatkan mesin ATM. Kawasan situ dikelilingi pokok-pokok dan semak," katanya kepada mStar.

Walaupun beberapa kali berkunjung ke kampung tersebut, namun gadis yang berasal dari Kuala Terengganu itu belum pernah melalui kawasan tersebut pada waktu malam.

"Lampu dekat ATM terang, sekeliling memang sunyi-sepi. Lepas tu barulah ada seorang dua datang ke ATM, tapi memang rasa seram kalau tengok," ujar Aisyah.



Kedai runcit dan mesin ATM pada waktu siang.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, keadaan tersebut mungkin dianggap biasa bagi penduduk kampung namun ia merupakan pengalaman menyeramkan.

"Mereka yang tinggal di situ mungkin dah terbiasa. Tapi saya tak berani, kalau di bandar pun nak pergi mesin ATM malam-malam pun takut.

"Kalau di bandar, orang mungkin takut-takut nak pergi ATM sebab risiko jenayah seperti perompak, tapi kalau kat tempat gelap macam tu, lebih seram fikir nampak hantu.

Memang seram bila fikir pasal hantu. Tapi soal keselamatan lagi penting, terutama ketika mengeluarkan duit

AISYAH ABDULLAH

"Tapi pada pandangan saya, penduduk setempat pasti lebih selesa kalau kawasan di sekitar mesin ATM lebih terang, lebih selamat untuk keluarkan duit," tambahnya.

Aisyah yang berniaga secara dalam talian berkata, dia turut membuat rakaman pada sebelah siang di kawasan berkenaan.



Perkongsian Aisyah lebih mengutamakan soal keselamatan.

"Bila saya datang semula waktu siang, memang terkejut tengok kawasan sekitar. Rupa-rupanya tak jauh pun dari tanah perkuburan kira-kira 300 meter.

"Kawasan rumah pun tak dekat dengan ATM tu. Kalau saya tahu lebih awal ada kubur dekat situ, tak berani tinggal seorang diri dalam kereta," katanya.

Dia bagaimanapun menegaskan perkongsian videonya sekadar untuk menyuarakan pandangan mengenai keselamatan ketika menggunakan mesin ATM pada waktu malam.

"Memang seram bila fikir pasal hantu. Tapi soal keselamatan lagi penting, terutama ketika mengeluarkan duit.

"Harap ada perubahan yang dibuat di kawasan sekitar demi keselesaan dan keselamatan penduduk setempat termasuk orang luar seperti saya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wajah bayi berkedut seperti berusia 80 tahun