suria

Dua pelajar raih RM19,000 buat bisnes 5 hari di asrama, berbaloi tebal muka ketuk bilik kawan - “Ramai-ramai gelak, nombor kena block”

(gambar kanan) Amzar (kanan) dan Aiman berkongsi pengalaman mereka membuka tempahan baju untuk pelajar-pelajar ketika cuti lima hari di asrama.

DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Begitulah yang dapat digambarkan pada semangat dua sahabat ini.

Hanya kekal berada di asrama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedua-dua mereka mampu menjana pendapatan ribuan ringgit.

Pencapaian mereka yang membanggakan itu dikongsikan menerusi video di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar kelas hujung dan kaki ponteng berjaya bangkit! Dulu PMR tak ada A, kini ikuti ijazah kedua... setiap bulan dapat RM20,000

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu tampal tracking number di bilik, pelajar U mampu buka pusat kurier sendiri hasil buat 9 bisnes - "Nak senang tak perlu jadi orang senang"

Pemuda berkenaan, Ahmed Amzar Airil Ahmed Mazdan memberitahu, dia bersama seorang rakan di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas, Danish Aiman Ahmad Rizal memulakan bisnes baju sejak sebulan lalu.



Mengira jumlah tempahan.

Anak muda berusia 19 tahun itu berkata, ia dilakukan di asrama ketika cuti pendek selama lima hari selepas tidak pulang ke rumah berikutan sekatan merentas negeri ketika PKP.

"Kami pilih bisnes ni untuk kolej sebab para pelajar sukakan baju mengikut trend, dan pakai secara berkumpulan. Jadi, kami mudahkan mereka dengan membuat tempahan baju.

"Dalam masa lima hari tu, kami buat secara habis-habisan dari promosi hingga buka tempahan baju menerusi grup WhatsApp dan Facebook," katanya kepada mStar.



Membawa tempahan yang telah siap ke asrama.

Lebih mesra disapa Amzar, katanya, pada hari kelima, dia bersama Aiman bergiat lebih aktif dengan pergi dari pintu ke pintu bilik salah satu blok asrama lelaki sebelum menutup tempahan.

"Lima hari kami buat all out, kami dapat 500 tempahan baju membabitkan pelajar kolej lelaki dan perempuan. Keseluruhan jualan kami peroleh sebanyak RM19,000.

"Pada asalnya kami sasarkan hanya 300 tempahan. Tapi risau ada pelajar-pelajar yang terlepas pandang tentang baju ni, jadi kami gerak dari pintu ke pintu pula... tak sangka masuk hari kelima dapat cecah kira-kira 500 tempahan," kata anak kelahiran Bachok, Kelantan itu.

Dalam bisnes ada yang suka dan tak suka. Ada ramai-ramai gelak, block nombor telefon tu perkara biasa yang kami anggap dugaan berniaga.

AHMED AMZAR AIRIL AHMED MAZDAN

Walaupun baru mengenali sejak semester lalu bagi mengikuti jurusan yang sama iaitu perakaunan, kedua-dua anak muda ini sebenarnya mempunyai minat dalam perniagaan.

Amzar berkata, dia sebelum ini mengusahakan bisnes minuman yogurt, manakala Aiman yang berasal dari Bangi, Selangor terlibat dalam perusahaan kek.



Amzar (kiri) dan Aiman mengira stok baju.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, mereka turut menerima tempahan daripada beberapa kolej matrikulasi seperti Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Syukur, Alhamdulillah. Berkat usaha kami bertungkus-lumus untuk buka tempahan baju selama lima hari sampai tak cukup tidur kira order.

"Lepas Subuh baru nak tidur setakat tiga hingga empat jam sehari," katanya sambil menambah mereka berurusan dengan sebuah kilang baju di Selangor.

Dalam pada itu, Amzar turut berkongsi pengalaman mereka yang berdepan cabaran berniaga terutama pada hari terakhir tempahan baju dibuka kepada pelajar-pelajar kolej.



Antara hasil jualan baju di asrama.

"Malam terakhir tu, kami tebalkan muka pergi ketuk pintu ke pintu bilik di satu blok asrama. Kami semua ada di asrama sebab cuti pendek dan PKP, jadi mereka ada kat bilik je.

"Bila ketuk pintu beberapa bilik, ada yang tak sahut sedangkan banyak selipar kat luar pintu. Ada juga yang sekadar gelak-gelak dari dalam bilik tanpa buka pintu... tak apalah, lepas beri salam tiga kali, kami bergerak ke bilik lain pula.

"Ada antara mereka yang beria-ia nak beli, siap kasi nombor telefon. Bila kami hubungi untuk sahkan tempahan, terus block (sekat) nombor kami. Memang sakit hati kena tipu.

"Dalam bisnes ada yang suka dan tak suka. Ada ramai-ramai gelak, block nombor telefon tu perkara biasa yang kami anggap sebagai dugaan berniaga," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain