suria

Wanita pertaruh nyawa selamatkan kucing kesayangan dibelit ular sawa, geli geleman sampai termuntah... Kini reda dah 2 tahun menghilang - “Memang takkan saya lupakan”

Rozza berkongsi kisah sedih mengenai kucing kesayangannya yang diberi nama Belang.

BAGI pencinta kucing, haiwan berkenaan bukan dianggap sebagai haiwan peliharaan semata-mata sebaliknya sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Golongan ini tidak kisah berhabis wang demi, asalkan haiwan peliharaan mereka sentiasa sihat.

Jangankan berhabis wang, malah ada juga yang sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan si bulus kesayangan sebagaimana kisah yang dikongsikan wanita ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mesti fikir kucing dulu” - Demi 27 bulus, anak dedah ibunya rela tak bercuti sekeluarga, sanggup ulang alik beli katil comel

ARTIKEL BERKAITAN: Kahwin dah lama tapi tak ada anak, wanita kongsi kisah dimomok pantang larang makcik-makcik... konon bela kucing susah mengandung!

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Kucing Sepahkan Apa Hari Ini, wanita bernama Rozza Zainal berkongsi kisahnya pernah 'bergelut' dengan seekor ular sawa yang cuba membaham salah seekor kucing kesayangannya, Belang.

Perkongsian tersebut nyata mengundang rasa sebak dan terharu netizen yang kagum dengan kasih sayang antara manusia dan haiwan.

Menurut Rozza Zainal, sungguhpun kisah berkenaan sudah hampir lima tahun berlalu, namun ia tetap segar dalam ingatannya kerana ia antara detik-detik paling ngeri yang pernah dialaminya.

"Ketika itu saya baru je balik kerja. Selepas bagi tujuh ekor kucing makan termasuk Belang, saya pun ke dapur untuk memasak. Sedang memasak, tiba-tiba saya terdengar Belang mengiau cukup kuat. Biasanya kalau macam tu, mesti dia bergaduh dengan seekor lagi kucing, Uteh.



Rozza mencoretkan kisah kucing kesayangannya bernama Belang di Facebook.

"Saya pun pergi jenguk dari mana datangnya suara tu, tiba-tiba nampak Uteh berlari masuk. Peliklah, siapa yang bergaduh dengan Belang? Makin lama makin perlahan bunyi hinggalah ke belakang rumah, mata saya terpaku lihat Belang sedang dibelit seekor ular sawa.

"Lemah lutut saya dibuatnya. Masa tu saya tinggal seorang saja jadi memang panik. Dalam kalut, saya hampiri ular tu dan ketuk dengan sudip yang ada dekat tangan tapi tak berjaya.

"Masa tu air mata pun mengalir laju sambil panggil nama Belang. Lihat matanya berkedip-kedip buat air mata makin laju. Tak berjaya pukul dengan sudip, saya berlari ambil parang, ketuk dengan gayung, siram dengan air... semua tak berjaya," kata wanita berusia 30an ini kepada mStar.

Entah dari mana keberaniannya datang, Rozza berkata dia akhirnya nekad menarik badan ular sawa berkenaan sekuat hati sambil mencari-mencari kepala ular berkenaan untuk diketuk dengan parang.

Dialah satu-satunya kucing yang saya pertaruhkan nyawa... memang takkan saya lupakan.

ROZZA ZAINAL

PEMILIK

"Dengan lafaz Bismillah saya ketuk kepala ular sawa tu. Berganjak ke belakang ular tu... sekali lagi dia tegakkan kepala. Saya ketuk kuat lagi, bukan ketuk dengan mata parang, tapi ketuk dengan belakang parang. Niat saya cuma nak dia lepaskan Belang, bukan untuk cederakan dia.

"Saya hayunkan sekali lagi parang lebih kuat. Ular sawa tu terus menunduk, perlahan dia menyelinap masuk dalam lubang tandas tu. Terus saya berlari dapatkan Belang saya sambil memeluknya. Syukut Belang selamat," katanya yang menetap di kawasan perkampungan di Bukit Gambir, Johor.

Cerita wanita ini lagi, apabila peristiwa berkenaan terimbas di mindanya, dia sendiri tidak dapat menjelaskan bagaimana dirinya memperoleh kekuatan dan keberanian untuk berdepan dengan seekor haiwan yang berbahaya.

"Saya pun tak boleh nak cerita... apa yang saya tahu, saya nak selamatkan 'anak' saya saja. Tapi sebenarnya selepas insiden itu, saya termuntah beberapa kali kerana terbayang lagi geli geleman masa pegang ular sawa tu.



Antara kucing jalanan yang dipelihara Rozza ketika ini.

"Saya sekadar kongsi group Kucing Sepahkan Apa Hari Ini kerana tiba-tiba teringatkan Belang. Tiga tahun lepas kejadian tu, Belang hilang. Saya balik kerja, panggil nak beri makan tapi Belang tak ada. Dari petang membawa ke malam saya cari keliling rumah, tapi tak jumpa.

"Selama dua minggu saya cari Belang... akhirnya saya reda walaupun sedih sangat. Tak tahu sama ada dia mati atau apa nasibnya. Bila ke pasar atau pergi mana-mana, kalau nampak kucing iras Belang, mesti saya pergi belek untuk pastikan tapi hampa... saya cam Belang sebab ekornya bengkok," ujarnya lagi.

Meskipun dia ada memelihara kucing baharu selepas kehilangan Belang, namun si bulus kesayangannya itu tetap di hati dan tiada pengganti kedua.

"Belang saya pelihara dari kecil. Sanggup saya ambil dia dari longkang di pekan, masuk pasar raya beli tuala untuk balut dia sebelum bawa pulang. Tambahan pula dialah satu-satunya kucing yang saya pertaruhkan nyawa... memang takkan saya lupakan.

"Bagi pencinta kucing, jagalah si bulus dengan penuh kasih sayang... jangan memilih antara kucing jalanan atau kucing baka. Layanlah sama rata," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain