suria

Babak intim dalam kereta hanya teknik kamera, tayangan bulan Ramadan di luar bidang kuasa Trisha Ooi… “Saya hanya jalankan tanggungjawab”

Trisha menjelaskan dia hanya mengikut skrip yang diberikan.

PELAKON Trisha Ooi tampil menjelaskan kontroversi babak intim bersama Aidil Aziz dalam drama Sujud Terakhir Encik Norman yang menerima kecaman hebat netizen lebih-lebih lagi kerana ditayangkan pada bulan Ramadan.

Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 27, menegaskan adegan berkenaan tidak keterlaluan seperti diperkatakan dan dilakukan mengikut kehendak skrip semata-mata.

"Kami tidak berniat untuk melebih-lebih dalam adegan tersebut. Tambahan pula, watak saya dalam drama itu memakai tudung dan kami cuba menggambarkan perkara yang bersesuaian dengan karakter tersebut.

Babak panas dipercayai dilakukan dalam kereta.

"Berhubung babak tersebut yang ditayangkan pada bulan Ramadan, perkara tersebut sebenarnya di luar kawalan saya.

"Saya hanya menerima skrip dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pelakon. Soal bila babak itu ditayangkan, proses suntingan dan sebagainya bukan berada dalam bidang kuasa saya," katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat. 

Dalam pada itu, Trisha menjelaskan adegan berkenaan tidak berlaku secara realiti, sebaliknya menggunakan teknik kamera bagi menggambarkan situasi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak hormat bulan Ramadan, watak berahi Aidil Aziz dan Trisha Oii didakwa keterlaluan… “Mana had batas produksi dan pelakon yang sudah beristeri”

ARTIKEL BERKAITAN: Kerap ditanya keluarga soal jodoh, Trisha Ooi sudah sedia jawapan

"Babak kerusi yang dijatuhkan itu hanyalah ‘foreshadow’ atau simbolik sebagai petanda kepada situasi berkenaan," ujarnya.

Mengulas mengenai kritikan diterima, Trisha berkata dia mengambil pendekatan terbuka dan menganggap setiap teguran sebagai tanda keprihatinan penonton.

Malah Trisha juga berharap supaya penonton dapat mengambil pengajaran melalui drama tersebut.

Babak tersebut hanyalah sebahagian daripada penceritaan untuk menyampaikan mesej sebenar drama.

TRISHA OOI

PELAKON

"Bagi saya sesuatu babak atau karakter itu, semuanya adalah sebahagian daripada usaha untuk menjayakan sesebuah naskhah agar dapat ditonton dan difahami penonton.

"Sudah tentu kita mahu ada pengajaran yang boleh diambil oleh semua pihak, bukan sahaja pelakon atau netizen, tetapi semua yang menonton.

"Jika melihat kepada keseluruhan cerita, ia masih belum ditayangkan sepenuhnya dan baharu sehingga episod lapan. Babak tersebut hanyalah sebahagian daripada penceritaan untuk menyampaikan mesej sebenar drama itu. Itu pandangan saya," ujarnya. 

Drama ini menampilkan Aidil, Sakinah dan Trisha yang hidup secara berpoligami.

Sebelum ini, mStar melaporkan babak panas kedua-dua pelakon tersebut di dalam sebuah kereta mengundang pelbagai reaksi. 

Adegan itu memperlihatkan Trisha dan Aidil seolah-olah sedang bercium, namun ia dikaburkan bagi mengekalkan kesesuaian tayangan.

Untuk info, drama Sujud Terakhir Encik Norman dilakonkan oleh Sharifah Sakinah, Aidil Aziz, Trisha Ooi, Rykarl Iskandar dan ramai lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain