suria

Pemandu bas ekspres bengang penumpang lapor ‘hotline’ kesalahan hisap rokok - “Patut bersyukur, jangan busuk perut!”

Merokok di dalam bas adalah satu kesalahan. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa pemandu bas yang dinaikinya merokok sepanjang perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Parit Buntar, Perak.

Dakwanya, bukan sekali pemandu tersebut menghisap rokok sebaliknya sebanyak tiga kali dia melanggar peraturan larangan yang terdapat dalam bas itu sendiri. 

“Dalam bas siap ada tanda no smoking dekat depan, tapi pemandu tetap merokok.

"Dah tak tahan, saya terus buat aduan kepada talian hotline syarikat bas ekspres tu," katanya menerusi perkongsian pada Jumaat.

Tidak lama kemudian, wanita itu terdengar perbualan telefon dipercayai antara pemandu dan pihak pengurusan yang menyebut mengenai isu merokok.

"Tak lama lepas tu bas berhenti secara tiba-tiba di tengah lebuh raya dan pemandu memberi penjelasan kepada penumpang mengenai aduan yang dibuat," katanya.

Menerusi perkongsian video, pemandu memberi alasan mengantuk dan perlu merokok, selain nadanya kurang senang dengan tindakan aduan yang dibuat penumpang.

"Pemandu mengantuk, sebab tu hisap rokok. Kalau ada yang tak puas hati, cakap depan-depan tapi ada orang buat aduan dekat pejabat. Paksu tahu siapa.

"(Patutnya) bersyukur, terima kasih paksu bawa bas. Jangan baling batu sembunyi tangan. Kita manusia kena ada hati perut, jangan busuk perut.

"Kita boleh naik selamat, sampai selamat. Jadi bersyukur," kata pemandu tersebut kepada semua penumpang.

Wanita itu menegaskan perbuatan merokok dalam kenderaan awam adalah menyalahi undang-undang dan menyifatkan alasan diberikan sebagai tidak wajar.

"Apabila buat semakan di Google, saya dapati syarikat tu pernah terima beberapa aduan hampir sama dalam tempoh enam tahun lalu, termasuk sikap pemandu yang tak beradab.

"Jadi saya tidak akan lagi guna perkhidmatan syarikat bas itu demi keselamatan diri pada masa hadapan," katanya.

Artikel Lain