suria

Kecoh! Selepas Sabak Bernam, misteri ketukan pintu didakwa beralih ke Negeri Sembilan... penduduk dinasihat ‘jika diketuk 7 kali jangan buka’, ini jawab Rukun Tetangga

Kejadian misteri ketukan pintu yang melanda di Sabak Bernama sebelum ini didakwa melanda beberapa kawasan di Negeri Sembilan. -gambar hiasan

BELUM reda misteri ketukan pintu di Sabak Bernam, Selangor, pada bulan lalu, kini khabar angin bertiup kencang mengenai kejadian itu berlaku di Negeri Sembilan dan Melaka.

Menerusi satu mesej yang kini tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp, penduduk di beberapa kawasan di Negeri Sembilan dinasihatkan supaya tidak membuka pintu sekiranya terdapat ketukan sebanyak tujuh kali.

“Minta penduduk di sekitar kawasan Ampangan, Sikamat, Panchor, Taman Tasik Jaya untuk tidak membuka pintu jika diketuk tujuh kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan saja pintu rumah diketuk berulang kali, tangisan di tingkap masih menghantui wanita ini - "Anak 3 tahun selalu sebut pocong, mama kat luar ada orang"

"Ketukan misteri dari Sabak Bernam sudah ke Negeri Sembilan," menurut dakwaan menerusi maklumat yang kini tular.

Maklumat tersebut turut mendakwa 25 penghuni kediaman di Taman Tasik Jaya di Seremban telah membuat aduan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di lokasi berkenaan.

"Betul ke bunyi ketuk-ketuk pintu sebanyak tujuh kali tu dah sampai Negeri Sembilan dan Melaka. Kalau dengar bunyi ketukan tu jangan buka tau," tulis seorang pengguna Twitter menerusi satu ciapan, lewat Isnin malam.



Mesej yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, kejadian misteri ketukan pintu itu dinafikan oleh Pengerusi KRT Taman Tasik Jaya, Abu Hassan Osman selepas dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Menurut laporan Sinar Harian, Abu Hassan dipetik sebagai berkata, penduduk di sekitar Taman Tasik Jaya tidak perlu bimbang kerana maklumat yang tular itu adalah tidak benar.

"Saya telah membuat pemeriksaan, memantau dan bertanya kepada semua penduduk di taman ini mengenai perkara tersebut, namun tidak ada yang kena kacau.

"Tiada pun orang ketuk pintu, misteri ketukan pintu tidak berlaku di taman ini, ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengada-adakan cerita," katanya.

Kita tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga, sentiasa mengunci pintu rumah dan tingkap dengan kemas bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku

ABU HASSAN OSMAN

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduudk di sekitar taman tersebut supaya berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan bersama.

"Walaupun ini adalah sekadar maklumat palsu yang ditularkan dan diada-adakan, namun kita tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga, sentiasa mengunci pintu rumah dan tingkap dengan kemas bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," katanya sambil menambah perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak polis namun tiada laporan polis dibuat.

Menurut Abu Hassan, beliau dan beberapa penduduk KRT membuat rondaan di kawasan Taman Tasik Jaya pada Isnin, namun tiada sebarang kejadian yang mencurigakan berlaku.



Ciapan yang tular di laman Twitter sejak Isnin.

Bulan lalu, kecoh mengenai misteri ketukan pintu yang kuat sehingga mengejutkan penghuni rumah di beberapa kampung sekitar Sabak Bernam.

Selepas 18 hari menghantui penduduk di daerah itu, misteri gangguan ketukan pintu rumah pada waktu malam berakhir apabila tiada lagi kes terbaharu dilaporkan berlaku.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan perkara itu sambil menambah pihaknya tetap melakukan kawalan rondaan di kampung dan taman perumahan meskipun gangguan itu telah berakhir.

Selepas ketukan misteri di Sabak Bernam, kejadian aneh itu turut dilaporkan menghantui penduduk di Alor Gajah, Melaka dan Klang, Selangor.

Lebih menyeramkan, ketukan misteri tanpa salam itu bukan lagi hanya berbunyi di pintu rumah, malah dilaporkan berlaku di pintu bilik tidur.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi berhubung perkara itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain