suria

Penyewa ramai tapi rumah bersepah, air melimpah di ruang tamu... peliknya hanya seorang naik angin, terpaksa kemas sendiri 3 jam – “Janganlah muka cantik tapi pengotor”

Keadaan ruang tamu di sebuah rumah sewa yang bukan sahaja tidak terurus, bahkan air melimpah di segenap lantai. foto Twitter mnsiatnpahati

NASIB malang menimpa seorang gadis apabila rumah sewa yang baru didudukinya bukan sahaja bersepah, malah hampir segenap lantai di ruang tamu dibanjiri air.

"Bukan nak kata apa, tapi aku dah penat nak hadap hari-hari macam ni. Aku penat balik kerja hari-hari aku kemas tapi akhirnya macam ni juga setiap kali balik.

"Apa ni? Monyet ke yang duduk dalam rumah ni? Perempuan di luar sana tolonglah jadi pembersih, janganlah muka cantik tapi pengotor," luahnya di laman Twitter menerusi siri bebenang sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Penyewa dari neraka' memang wujud! Pemilik perlu 'daki' timbunan sampah cecah siling nak masuk rumah... siap pakej haiwan, bangkai

ARTIKEL BERKAITAN: 7 tahun menyewa atas ihsan pemilik, kumpulan pelajar perempuan tak pernah cuci langsir, tuala wanita lekat di tingkap,"Ingat ni muzium seni ke?"

Berkongsi kisah kepada mStar, penyewa berkenaan berkata, kejadian 'lantai banjir' itu berlaku minggu ini di rumah sewanya di sebuah kondominium yang terletak di Kuala Lumpur.



Luahan seorang gadis menerusi siri bebenang di laman Twitter.

Hanya mahu dikenali sebagai Yings, katanya, limpahan air tersebut sebenarnya bermula sejak pagi apabila seorang teman serumah membersihkan peti sejuk di ruang tamu.

"Peti sejuk tak ada masalah, cuma seorang housemate ingin mengemas peti sejuk itu yang sudah berais di bahagian atas sehingga susah untuk mengambil makanan beku.

"Tapi bila air sudah melimpah keluar dia tidak tahu cara untuk bersihkannya sebab sudah melimpah ke tempat lain dan keadaan bertambah teruk," kata gadis berusia 24 tahun itu kepada mStar.



Bukan sahaja lantai dilimpahi air, bahkan ruang tamu turut bersepah.

Bagaimanapun, Yings memutuskan untuk mengemaskannya sendiri kerana menyedari keadaan bertambah buruk sekiranya tiada siapa yang tampil untuk melakukannya.

"Alang-alang sudah kotor lebih baik saya kemas satu rumah. Bukan pertama kali keadaan bersepah, berkali-kali sehingga ada masa malas nak ambil tahu tetapi kejadian hari itu membuatkan saya sangat marah kerana air melimpah di lantai.

"Housemate hanya letak seluar, kain lap kaki, kotak untuk keringkan lantai. Ada mop di rumah sebenarnya, tetapi saya tidak tahu kenapa dia tidak menggunakannya.

"Jadi saya keringkan lantai menggunakan mop itu," katanya sambil menambah secara keseluruhan seramai 10 penyewa wanita tempatan berusia sekitar bawah 30 tahun menyewa di unit kondominium empat bilik itu.



Keadaan ruang tamu yang siap dibersihkan oleh Yings seorang diri.

Menurut Yings, dia mengambil masa tiga jam untuk mengemaskan ruang tamu seorang diri meskipun terdapat seorang lagi teman serumah ketika itu, namun memberikan alasan tidak tahu mengemas.

"Saya sebenarnya sangat pantang nampak kotor bersepah ini tetapi saya faham, saya hanya penyewa dan tidak boleh sesuka hati seperti di rumah sendiri. Jadi, saya tidak boleh mengikut emosi atau marah, cuma waktu itu keadaan sangat teruk dan tidak terurus.

"Bila balik ke rumah sewa selepas waktu kerja, keadaan jadi macam tu. Saya amat marah dan geram sebab balik nak rehatkan mental dan fizikal selepas penat bekerja," katanya dengan nada kesal.

Saya tidak minta mereka untuk jadi pembersih tetapi cubalah belajar untuk menjaga kebersihan

YINGS

Gadis yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, dia sebenarnya baru menyewa di rumah itu dua bulan lalu selepas mendapat kerja baharu sebagai pereka grafik di sebuah syarikat berdekatan.

"Saya masih baru (penyewa). Saya bertahan ni sebab tak mampu nak cari bilik sewa mahal, apatah lagi ofis begitu dekat hanya berjalan kaki antara 15 hingga 20 minit," ujarnya.



Lantai telah dimop dan susun atur barangan lebih kemas.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, walaupun tak tegur menegur kerana mahu menjaga hati penyewa lain tetapi dia juga manusia biasa yang mempunyai had kesabaran.

"Kalau dah terlalu banyak kali berulang perkara sama dan tak tahu menjaga kebersihan, takkan nak mendiamkan diri kan. Kita sama-sama penyewa dan tinggal serumah.

"Walaupun kita orang asing yang tidak mengenali antara satu sama lain, tetapi kita kenalah ada common sense, bertolak ansur, bekerjasama antara satu sama lain, hormat-menghormati orang lain sebab kita sudah dalam satu rumah.

"Saya tidak minta mereka untuk jadi pembersih tetapi cubalah belajar untuk menjaga kebersihan... kalau tidak tahu membuat sesuatu, bertanyalah. Buka mulut dan minta diajar. Jangan malas untuk belajar," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain