suria

Jangan kata cikgu tak payung! Calon SPM mengidam McD terkejut... hanya cuba nasib mesej pengetua, hidangan betul-betul sampai di asrama

Danial (kiri) tidak menyangka pengetua sekolahnya, Pn Jaliah Abu benar-benar 'sporting' sehingga menunaikan keinginan mereka menikmati McDonald's.

"DAPAT pengetua sporting ni another level of kena bersyukur!"

Demikian antara komen yang dilontarkan netizen terhadap perkongsian seorang pelayar yang memuat naik gambar pengetua sekolahnya membelikan set hidangan McDonald's untuk para pelajar.

Terdahulu, pelayar bernama Muhammad Danial Asyraf Azahari memuat naik tangkap layar (screenshot) perbualan aplikasi WhatsApp bersama pengetua sekolahnya, Jaliah Abu di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa kali cikgu sebak, terkejut anak murid hargai dirinya... siapa sangka hadiah gincu berbalas ikan laga - “Kawan kata dia taruh duit jual ikan puyu”

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiah Hari Guru paling sedih! Penat lelah pendidik dibalas dengan tweet biadab murid – “Remuk hati cikgu-cikgu baca semua”

Menerusi perbualan berkenaan, pelajar berkenaan mewakili rakan tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Melaka itu memberi 'hint' kepada pengetuanya mengenai keinginan mereka.

Tanpa disangka, guru tersebut membalas mesej yang dihantar pelajarnya itu dengan sangat 'sporting'.



Tangkap layar perbualan di antara Danial dengan pengetuanya, Puan Jaliah Abu menerusi aplikasi Whatsapp yang dimuat naik di Twitter.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih melebihi 4,000 retweet malah rata-rata netizen juga melahirkan rasa kagum dengan sikap pengetua wanita berkenaan kerana menunaikan keinginan para pelajarnya.

Berkongsi cerita dengan mStar, pelajar yang senang disapa sebagai Danial itu berkata dia sekadar 'mencuba nasib' menghantar mesej kepada pengetuanya, selain turut mengidam menikmati makanan dari restoran makanan segera itu.

"Kami sebenarnya tinggal di asrama dan sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kami tak boleh keluar untuk beli sendiri sebab keadaan pandemik sekarang.

"Makanan semua disediakan di asrama... jadi terasa macam mengidam selepas tengok ada pelayar Twitter muat naik gambar pengetua sekolah mereka 'payung' McDonald's. Saya pun hantar screenshot ciapan tu kepada Puan Jaliah.



Antara komen netizen yang rata-ratanya mengkagumi sikap sporting pengetua di sekolah Danial.

"Tak sangka sebab dia balas... siap tanya lagi nak menu apa. Tapi alih-alih bila makanan sampai petang Ahad lalu, ada ayam goreng, burger dan kentang goreng lagi," ujar remaja berusia 18 tahun ini.

Menurut Danial, pada mulanya hanya rakan-rakan sebilik sahaja mengetahui mengenai mesej tersebut, namun ia diketahui pelajar-pelajar lain selepas ciapannya tular.

"Seronok sangat-sangat sebab dapat lepas mengidam. Rasa macam bersemangat nak belajar.

Beliau tak mengajar kelas saya pun... tapi memang sangat sporting dan disenangi para pelajar. Bila perkara ini tular, dia tahu dan dia okay saja.

MUHAMMAD DANIAL ASYRAF AZAHARI

PELAJAR

"Masa edar makanan tempoh hari, Puan Jaliah sempat pesan supaya buat yang terbaik untuk SPM ni. InsyaAllah kami semua akan cuba sedaya upaya untuk banggakan sekolah," katanya yang berasal dari Teluk Mas, Melaka.

Bercerita mengenai personaliti pengetuanya itu, Danial berkata guru wanita berkenaan sememangnya seorang yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan pelajar walaupun baru berkhidmat di sekolah tersebut tahun lalu.

"Beliau tak mengajar kelas saya pun... tapi memang sangat sporting dan disenangi para pelajar. Bila perkara ini tular, dia tahu dan dia okay saja," katanya lagi.



Sebahagian daripada batch tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Melaka yang menduduki SPM pada ketika ini.

Sementara itu ketika berkongsi mengenai persediaannya menghadapi peperiksaan dalam suasana norma baharu, remaja ini berkata dia gemar mengulang kaji bersama rakan-rakan tambahan pula proses pembelajaran sedikit terganggu tahun lalu gara-gara pandemik Covid-19.

"Selain study group, warden asrama dan guru-guru memang sangat membantu antaranya ada yang buat kelas tambahan. Alhamdulillah bila duduk di asrama, harapan kami adalah untuk fokus lebih dengan ulang kaji bersama-sama," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain