suria

Anak pesakit datang hospital buat kejutan, doktor semakin sedar kematian sangat dekat dengan manusia

Dr Ahmad Samhan berkongsi kisah seorang pesakit yang meninggal dunia selepas sehari dia merawatnya. Gambar hiasan Foto AP/Facebook Ahmad Samhan

AJAL maut itu adalah ketentuan Tuhan.

Walaupun sembuh daripada penyakit, tetapi kematian boleh terjadi bila-bila masa, di mana sahaja.

Seorang doktor menggambarkan kelegaannya apabila melihat pesakit yang hadir dengan muka perit menahan sakit, kemudiannya pulang dengan tersenyum lebar.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami dituduh pembunuh" - Doktor kongsi tak mudah berdepan saat kematian, sampai satu tahap perlu patuh pada ketentuan

ARTIKEL BERKAITAN: "Kalau sambung mesin mak saya akan mati ke?" - Kadar survival di China rendah, kesan meracau sehingga setahun... doktor perjelas fungsi ventilator

Begitulah antara kemanisan apabila menggalas tanggungjawab sebagai doktor.



Keadaan pesakit yang terlantar di ICU. Gambar hiasan/Foto AP

Namun, kehadiran seorang wanita ke dalam bilik rawatan yang dikendalikannya menimbulkan tanda tanya.

"Pesakit melangkah keluar. Belum sempat pintu tertutup rapat, pintu ditolak dan seorang wanita melangkah masuk... Assalamualaikum doktor. Doktor mungkin tak ingat saya.

"Aku cuba membelek memori di dalam kepala untuk dicantumkan dengan muka wanita yang berdiri di depan aku. Gagal," tulis Dr Ahmad Samhan di halaman Facebooknya.

Dr Ahmad Samhan bagaimanapun menerima perkhabaran mengejutkan mengenai bapa wanita itu yang telah dijemput Ilahi.

"Saya cuma nak beritahu, ayah saya ‘dah pergi’ sehari selepas doktor datang rumah rawat arwah beberapa hari lepas," ujar wanita berkenaan.



Dr Ahmad Samhan mengimbas kembali keadaan seorang pesakit yang ditemuinya.

Berita sedih itu benar-benar membuatkan doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelu tidak terkata.

"Memori ketika aku merawat arwah pakcik terus berdesup masuk. Baru beberapa hari lepas aku memegang tangannya. Kurus dan berurat halus," katanya.

Baru beberapa hari lepas aku memegang tangannya. Kurus dan berurat halus.

DR AHMAD SAMHAN

Dr Ahmad Samhan juga dapat mengimbas kembali kata-kata anak pesakit itu sebelum kedatangan beliau ke rumah anak beranak itu.

"Doktor boleh tak datang rumah tengok ayah saya. Susah nak bawa ayah ke klinik atau hospital. Dia jatuh selepas tu tak larat bangun."

Malahan, beliau yang merupakan ahli lembaga pengarah di sebuah klinik perubatan di Kuala Terengganu, Terengganu masih mengingati raut wajah pesakit ketika kunjungannya itu.



Perkongsian Dr Ahmad Samhan di Facebook.

"Masih aku ingat senyuman arwah ketika aku mengambil tekanan darahnya. Dia memang sihat beberapa hari sebelumnya. Tiada kesan lebam atau patah.

"Sesungguhnya kematian itu sangat dekat dengan kita. Hari ini mungkin kita masih mampu bernafas tapi selepas nikmat bernafas itu diambil, kita kena akur.

"Selagi sempat bertaubat, bertaubatlah. Maafkanlah semua orang yang pernah menyakiti kita sebelum lelapkan mata," katanya.

Dr Ahmad Samhan sebelum ini pernah berkongsi pengalaman mengenai seorang anak kepada pesakitnya menuduh beliau sebagai ‘pembunuh’ kerana tidak dapat menerima takdir bapanya yang dirawat telah meninggal dunia.

"Kami sedaya-upaya berusaha. Sampai satu tahap kami pun terpaksa patuh dengan ketentuan Ilahi. Kami cuma merawat, yang menentukan sama ada pesakit terus hidup atau tidak adalah Allah," kata Dr Ahmad Samhan dalam satu perkongsian pada Mei lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Dr Ahmad Samhan, rawat, ajal, pesakit, kematian

Artikel Lain