suria
mStar - Urban.Versatil

[V] Pengasas taska Al Kauthar Eduqids pecat 15 guru, tarik balik 10 lesen cawangan... Mohon maaf kepada keluarga

Nor Fadilah bertemu ibu bapa dan memohon maaf secara terbuka berhubung beberapa kes melibatkan Al Kauthar Eduqids.

PENGASAS dan Pengarah Al Kauthar Eduqids (AKE), Datin Dr Nor Fadilah Alias tampil memohon maaf secara terbuka susulan pendedahan pelbagai isu melibatkan beberapa cawangan taska swasta itu pada Januari lalu.

Menerusi perkongsian di Instagram Caprice [Tonton Video], Nor Fadilah berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan komited untuk memastikan kebajikan serta keselamatan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua ibu bapa yang terlibat di beberapa cawangan Al Kauthar. 

"Alhamdulillah, sesi town hall bersama ibu bapa dan Caprice telah diadakan dan kami mencapai satu jalan penyelesaian yang baik bagi membantu semua ibu bapa terlibat,” katanya pada Selasa.

Menurut Nor Fadilah, semua pemilik cawangan yang menggunakan jenama Al Kauthar dan terlibat dalam isu berkenaan akan dipastikan bertanggungjawab sepenuhnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat apa sampai dalam longkang? Taska didakwa sembunyikan murid ketika pemeriksaan JKM

“Kami juga akan memastikan tindakan tegas diambil, termasuk memberhentikan 15 guru yang terlibat serta mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya.

"Pihak kami turut memberi kerjasama penuh kepada polis dan membantu ibu bapa dalam menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.

Setakat ini, sebanyak 10 cawangan yang menggunakan jenama Al Kauthar di Malaysia telah ditarik balik lesen penggunaannya.

Tambahnya,  pihak pengurusan akan menambah baik serta mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tahap keselamatan yang lebih terjamin pada masa akan datang.

“Di AKE, kami akan pastikan anak-anak mendapat didikan penuh kasih sayang, ilmu terbaik dan keselamatan yang terjamin. Sekali lagi, saya mohon maaf kepada semua ibu bapa yang terlibat,” ujarnya.

Sementara itu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata seramai 40 pemilik taska dan lebih 20 ibu bapa hadir pada sesi town hall berkenaan.

Katanya, tujuan sesi itu diadakan agar ibu bapa dapat bersemuka dengan pihak taska dalam menyelesaikan masalah yang berlaku.

Januari lalu, beberapa pusat penjagaan kanak-kanak di bawah label AKE yang beroperasi di Seksyen 3 dan Kota Kemuning di Shah Alam serta Prima Puchong disiasat dan diperiksa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ia selepas JKM menerima aduan awam berhubung dakwaan pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang tular di media sosial.

Artikel Lain