suria
mStar - Urban.Versatil

Anak dianggap tak menyerlah lepas TTMM, Liza Hanim kecewa Marsya jadi sasaran kecaman netizen

Liza sentiasa sokong Marsya.

PENYANYI Liza Hanim meluahkan rasa kecewa apabila anaknya, Marsya menjadi mangsa buli selepas dianggap tidak menyerlah seperti bekas peserta program Talk To My Manager (TTMM) yang lain.

Liza, 46, berkata dia tidak menyangka anaknya itu akan melalui pengalaman pahit sama sepertinya dalam dunia hiburan.

“Membaca IG Story daripada Marsya sangat menyentuh hati saya kerana saya tahu bagaimana rasanya diejek, dikecam dan dibuli.

Luahan hati Liza Hanim dan Marsya.

“Inilah sebabnya selama bertahun-tahun Shah (suami) dan saya melindungi anak-anak kami daripada industri hiburan. Kami tidak mahu mereka melalui kepedihan seperti itu,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam perkongsian sama, Liza turut memuat naik semula InstaStory Marsya yang meluahkan kekecewaan dialaminya.

Menurut Liza, penyertaan Marsya dalam TTMM merupakan peluang buat anaknya menonjolkan bakat dan minat dalam bidang nyanyian, namun pada masa sama terpaksa berdepan kecaman netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Liza Hanim bangga kejayaan anak, Marsya serah kepada ‘manager’ urus duit kemenangan TTMM

ARTIKEL BERKAITAN: Marsya juara TTMM, Liza Hanim sebak tumpang rezeki anak

“Marsya mewarisi peminat saya, tetapi dia juga terpaksa mewarisi pembenci saya,” luahnya.

Tambah Liza, anaknya itu masih di peringkat awal sebagai penyanyi, namun perlu berdepan tekanan emosi apabila diejek serta dipersendakan, selain pada masa sama perlu memberi komitmen penuh terhadap pelajaran.

“Marsya baru sahaja memulakan perjalanan dalam bidang nyanyian. Bayangkan keadaan mentalnya apabila diejek dan dipersendakan, dalam masa sama masih bergelut dengan pelajaran yang menuntut komitmen sepenuhnya.

“Yang menyalak itu pernah belajar dan jadi penyanyi tak? Anda tidak berada di tempatnya, jadi anda tidak akan pernah faham,” ujarnya.

Liza harap netizen hentikan keceman.

Dalam pada itu, Liza turut meminta orang ramai agar tidak merosakkan hubungan Marsya dan rakan-rakannya dalam TTMM kerana mereka saling menyokong antara satu sama lain.

Dia juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak supaya terus menyokong dan memahami perjalanan seni serta cita-cita anaknya itu, sambil menegaskan setiap perkara mempunyai masa dan fasa tersendiri.

“Marsya memang kuat, tetapi dia juga manusia. Begitu juga rakan-rakannya. Hentikan pembulian terhadap mereka,” tegasnya.

Sekadar info, Marsya atau Masrya Qistina, 22, merupakan juara TTMM musim pertama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain