suria
mStar - Urban.Versatil

Ramadan tanpa ibu bapa, Khai Bahar sibukkan diri dengan kerja... “Tahun ini saya tak ada siapa”

Khai akui rasa sunyi menyambut Ramadan tanpa ibu bapa.

KALI pertama menyambut Ramadan tanpa kedua ibu bapa, penyanyi Khai Bahar mengakui memilih untuk menyibukkan diri dengan pelbagai tawaran kerja bagi mengisi kekosongan yang dirasai.

Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 32, berkata, Ramadan tahun ini terasa sangat berbeza dan lebih sunyi berbanding sebelumnya sehingga dia sendiri tercari-cari cara untuk mengisi masa.

"Ramadan kali ini sangat berbeza, saya tak tahu nak buat apa tetapi saya penuhkan jadual dengan mengambil beberapa program (tawaran kerja). 

Khai mahu penuhkan jadual kerja sepanjang Ramadan ini.

"Tahun lepas ada tawaran program televisyen tetapi bila tengok jadual macam penat sangat, tak sempat. Tapi tahun ini saya yang cari tawaran kerja. 

"Saya ambil apa saja tawaran sebab nak penuhkan jadual. Sebelum puasa lagi dah lock beberapa program sepanjang Ramadan ini,” katanya kepada mStar. 

Dalam pada itu, Khai memberitahu selain kerjaya seni dia mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan minyak wangi miliknya dan bakal menyertai booth jualan di Brunei dan Singapura. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Khai Bahar meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas setahun ibu pergi, bapa Khai Bahar pula meninggal dunia

Bagi Khai, kesibukan adalah terapi terbaik untuk mengelakkan dirinya terus larut dalam kesedihan.

"Selain itu, saya juga mahu fokus kepada bisnes minyak wangi. Entah kenapa saya sendiri hubungi Ben Ali minta booth di Absolute Fest di Kuala Lumpur, Brunei dan Singapura. 

"Dengan cara sibukkan diri ini dapat naikkan kekuatan dan semangat untuk teruskan kehidupan,” ujarnya.

Ramadan kali ini sangat berbeza, saya tak tahu nak buat apa. 

KHAI BAHAR

PENYANYI

Berkongsi tentang perubahan yang dirasai, penyanyi lagu Kalau Bukan Aku itu berkata sebelum ini setiap kali Ramadan menjelma, dia sudah mempunyai perancangan untuk pulang beraya bersama keluarga. 

Namun, segalanya berubah selepas pemergian bapanya pada September tahun lalu. 

"Sebelum ini selalunya bila tiba Ramadan kita ada perancangan dan persiapan. Walaupun mak dah tak ada saya masih ada ayah.

"Tapi tahun ni saya dah tak ada siapa. Saya kena aturkan hidup sendiri, raya pun tak tahu nak pergi mana sebab semua adik-beradik saya dah berkahwin. 

Bapa Khai (kiri) meninggal dunia setahun selepas pemergian isteri.

"Saya hanya ada dua ekor kucing di rumah dan tahun ini tak tahulah beraya di kampung atau di Kuala Lumpur,” katanya.

Untuk rekod, ibu Khai iaitu Rosnah Muhammad meninggal dunia pada 2 Januari 2024 di Kangar, Perlis. 

Khai sekali lagi berdepan ujian berat apabila bapanya, Baharuddin Bakri menghembuskan nafas terakhir di usia 66 tahun akibat komplikasi pelbagai penyakit pada 19 September 2025. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain