suria

Buat apa sampai dalam longkang? Taska didakwa sembunyikan murid ketika pemeriksaan JKM

Kelihatan salah seorang kanak-kanak daripada sebuah taska terlepas dan bermain di dalam longkang.

PENDEDAHAN mengejutkan membabitkan sebuah rangkaian taska yang didakwa menganiaya kanak-kanak mencetuskan kebimbangan ramai.

Ia membuka mata masyarakat selepas aktivis kemanusiaan, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memuat naik siri pendedahan melibatkan beberapa cawangan taska berkenaan sejak Selasa.

Terbaharu pada Rabu, Caprice memuat naik tangkap layar perbualan daripada aplikasi WhatsApp dengan individu yang dipercayai bekas kakitangan taska daripada jenama sama.

Mengakui pernah berkhidmat di cawangan Puchong, Selangor, individu itu menceritakan pelbagai perlakuan tidak bertanggungjawab melibatkan anak-anak asuhan.

Antara dakwaan paling mengejutkan adalah proses pemindahan sebilangan kanak-kanak ke bangunan sebelah melalui tandas ketika pemeriksaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tindakan 'menyembunyikan' kanak-kanak itu dipercayai dibuat kerana pihak taska mengambil anak asuhan melebihi nisbah guru yang dibenarkan.

Tangkap layar merupakan antara perbualan dikongsikan Caprice di media sosial.

Menurut individu berkenaan lagi, bilangan 150 murid yang terlalu ramai menyukarkan 10 tenaga pengajar mengawal pergerakan kanak-kanak terbabit sehingga ada yang dilaporkan terlepas kawalan dan bermain di kawasan luar yang berbahaya.

"Saya sempat rakam kejadian masa JKM datang. Leader dan majikan bagi arahan untuk pindahkan budak dua hingga tiga tahun serta bayi sekali.

"Asingkan mereka sebab terlalu ramai. Mereka bawa anak-anak ke bangunan sebelah. Bangunan tu boleh lalu (akses) menggunakan laluan tandas.

"Bangunan sebelah tu preschool. Ada juga budak yang terlepas sebab tak cukup tenaga pengajar. Budak tu bermain dekat longkang," kata individu berkenaan.

Lebih membimbangkan apabila insiden tersebut dikatakan tidak diketahui ibu bapa mangsa sehingga ke hari ini.

Pendedahan itu menggores emosi netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa marah dan bimbang terhadap keselamatan anak-anak di pusat asuhan.

"Sakitnya hati tengok. Sudahlah mak bapa bayar yuran mahal.

"Takutnya baca. Hampir nak hantar anak pertama saya dekat taska ni dulu. Mungkin besar sangat hikmah, tak jadi pun hantar anak dekat sini.

"Walaupun bukan anak saya, sebaknya ya Allah tengok semua ni. Saya harap JKM tolong ambil tindakan sepatutnya. Parents bayar setiap bulan bukan untuk jaga anak ala kadar," komen netizen berkenaan.

Artikel Lain