AKSI berani mati seorang anggota polis mencetuskan kekecohan ramai selepas rakaman video dia berpaut pada bonet sebuah kenderaan yang sedang memecut laju tular di media sosial.Berdasarkan klip video yang dikongsikan, anggota tersebut dilihat sanggup mempertaruhkan nyawanya demi memberhentikan seorang pemandu yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan. Kejadian yang berlaku pada petang 7 Januari lalu di bandar Osaka, Jepun itu bermula apabila dua anggota polis cuba menahan sebuah kereta yang dikesan melalui kawasan pusat beli belah.Mereka mahu menahan kereta itu kerana kenderaan dilarang masuk ke kawasan tersebut.Suasana mula menjadi tegang apabila pemandu bukan sahaja enggan memberikan kerjasama, malah bertindak agresif dengan memecut dan membrek secara mengejut sehingga memaksa anggota polis berundur bagi mengelakkan rempuhan.Pemandu itu juga secara tiba-tiba membuat pusingan tajam ke kanan dan memecut sehingga hampir merempuh seorang penunggang basikal yang sedang melintas.Menyedari keadaan sudah tidak terkawal membuatkan salah seorang anggota polis bertindak pantas dengan melompat ke atas bonet kereta berkenaan ketika kenderaan itu mula menuju ke arahnya.Sambil berpaut erat, anggota tersebut dilihat mengetuk cermin hadapan kenderaan beberapa kali supaya pemandu berhenti.Namun tindakannya langsung tidak dipedulikan. Malah, pemandu terus memecut masuk ke sebuah lorong sempit dan membuatkan seorang lagi anggota polis mengejar dari belakang.Video yang tular sehingga kini membuatkan warga maya meluahkan rasa kagum dengan dedikasi anggota polis berkenaan yang sanggup melakukan apa sahaja demi menjalankan tugasnya walaupun berdepan risiko maut. -Agensi