SEORANG lelaki terkejut apabila kereta yang baru sahaja dibaiki tiba-tiba meletup dan terbakar ketika enjin dihidupkan.Insiden berlaku di daerah Kocasinan, Kayseri di Turkiye. Berdasarkan laporan, pemilik kenderaan, Kadir Silim membawa pulang kereta ke kediamannya selepas dibaiki selama tiga hari di bengkel.Dia yang cuba menghidupkan kenderaan bagi memanaskan enjin, terkejut apabila terdengar bunyi letupan bersama api.Situasi cemas yang berlaku itu membuatkan penduduk setempat memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.Pasukan bomba berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran sebelum ia merebak, namun kenderaan berkenaan didapati mengalami kerosakan teruk.Dalam pada itu Silim berkata, keretanya mempunyai masalah pendawaian elektrik dan kebakaran dipercayai berpunca daripada sistem elektrik berhampiran bateri."Kabel berhampiran bateri cair. Bahagian itu baru dibaiki dan soket ditukar. Besar kemungkinan api bermula daripada situ," jelasnya.Susulan itu katanya, dia berhasrat untuk mendapatkan laporan pakar dan membuat aduan rasmi bagi menentukan punca sebenar serta tanggungjawab pihak bengkel.Sementara itu, pihak berkuasa mengesahkan siasatan telah dibuka berhubung kejadian itu. -Agensi