suria

Bayi 5 bulan meninggal dunia di tangan bapa tiri... Alami kecederaan otak, patah tulang dan pendarahan mata akibat goncangan kuat

Bayi berusia lima bulan itu meninggal dunia pada tahun lalu. -Foto Wales Online

SEORANG lelaki dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh bayi teman wanitanya pada tahun lalu.

Tertuduh, Thomas Morgan, 28, didakwa menyebabkan kematian bayi lelaki berusia lima bulan bernama Jensen Lee Dougal.

Morgan didakwa menggoncang bayi itu secara ganas ketika berada dalam keadaan marah.

Perbicaraan kes itu kini berlangsung di Mahkamah Mahkota Swansea, Wales, United Kingdom.

Pendakwa raya, Caroline Rees KC, memaklumkan tertuduh menjalin hubungan dengan ibu mangsa.

Dia juga terlibat secara langsung dalam penjagaan bayi itu, sekali gus dianggap sebagai bapa tiri secara tidak rasmi.

Menurut pihak pendakwaan, kejadian berlaku pada 30 Mac 2024 di Clydach, Lembah Swansea, ketika Morgan ditinggalkan bersendirian bersama bayi tersebut.

Newborn baby feet in bed close up. Happy Family concept. Beautiful conceptual image of Maternity. Useful as greeting card. Selective focus

Bayi yang tidak berdosa sepatutnya dijaga dengan penuh kasih sayang. -Gambar hiasan

Pendakwaan berhujah tertuduh bertindak ganas sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan otak serius, beberapa tulang patah serta pendarahan di kedua-dua belah mata.

Mangsa dikejarkan ke sebuah hospital di Cardiff, namun doktor memaklumkan peluang untuk menyelamatkan nyawa bayi itu sangat tipis.

Mahkamah diberitahu bahawa keputusan dibuat bagi menghentikan sokongan hayat dan bayi tersebut meninggal dunia dalam pelukan ibunya pada keesokan hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Tampar, campak, pijak! Pengasuh ditahan bantu siasatan kes dera bayi di taska

Morgan bagaimanapun menafikan semua pertuduhan, termasuk dakwaan membunuh dan mencederakan bayi tersebut. 

Dia mendakwa bayi itu berada dalam keadaan sihat sebelum kejadian dan hanya menggoncangnya bagi tujuan menyelamatkan nyawa selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Pendakwaan turut memaklumkan penjelasan tertuduh tidak selari dengan keadaan fizikal mangsa ketika pemeriksaan paramedik.

Bayi itu dilaporkan mengalami perubahan warna kulit dan simptom yang tidak konsisten dengan dakwaan tercekik.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan bayi itu kelihatan aktif dan sihat sehari sebelum kejadian.

Pendakwaan berhujah bayi itu dilihat bergerak aktif dan responsif sebelum berada di bawah jagaan tertuduh, sekali gus menafikan sebarang kemungkinan kecederaan berlaku lebih awal.

Perbicaraan yang dikendalikan oleh Hakim Stacey dijangka berlangsung selama empat minggu. -Agensi

Artikel Lain