POLIS mengesahkan seorang pengasuh di sebuah taska di Desa Petaling, Kuala Lumpur, sudah ditahan bagi membantu kesdakwaan wujud penderaan bayi sebagaimana video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan pada 16 Disember lalu.
Menurut Aidil, pihaknya menerima tiga laporan polis melibatkan mangsa berusia enam dan sembilan bulan.
"Suspek, iaitu seorang wanita berusia 26 tahun, ditahan pada 16 Disember lalu untuk siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan masih dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Ceria ketika dihantar, muka anak penuh birat lepas pulang dari rumah pengasuh... Ibu bapa lapor polis, lantik peguam
Tambahnya, siasatan awal mendapati hanya seorang suspek terlibat dalam kes ini.
Terdahulu, tular beberapa video di akaun Threads, memaparkan dua wanita melakukan kekerasan terhadap bayi di sebuah taska.
Individu yang membuat perkongsian berkenaan menggunakan akaun @liyanazulkifli berkata, salah seorang mangsa merupakan bayinya yang berusia enam bulan.
"Yang tengah tu adalah anak saya. Dibedung. Dicampak. Digolek. Dipijak dengan kaki. Ditampar. Ditarik. Anak saya baru enam bulan yang tak tahu apa-apa.
"Anak saya diperlakukan macam anak patung. Hari kejadian 15 Disember. Pengasuh taska ni semua syaitan bertopengkan manusia.
"Tolong share untuk keadilan anak saya," tulisnya.
Perkongsian berkenaan meraih lebih 27,000 repost selain dibanjiri komen netizen yang meluahkan kemarahan selain mendesak tindakan tegas diambil terhadap pengasuh berkenaan.


