HATI ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak kecil yang dihantar dalam keadaan sihat dan ceria ke rumah pengasuh, pulang dengan wajah luka dan berbirat.
Perkongsian tragis di laman Threads yang memaparkan keadaan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu dibuat oleh ibu saudaranya, dikenali sebagai Zehra.
"Hancur luluh hati kami sekeluarga. Tiada kata mampu menggambarkan betapa peritnya hati ini apabila melihat keadaan anak saudara kesayangan kami, Ean Zafran.
"Anak kecil berusia dua tahun ini yang belum pun pandai bercakap, belum mengerti apa-apa tentang dunia, menjadi mangsa kekejaman manusia yang tiada hati dan perikemanusiaan!
"Semoga keadilan buat Ean Zafran ditegakkan, dan semoga tiada lagi anak kecil menjadi mangsa sekejam ini," tulisnya pada perkongsian berkenaan pada Ahad.

Kelihatan kesan birat pada wajah Ean.
Dia turut memuat naik beberapa keping foto memaparkan keadaan wajah anak saudaranya yang masih dalam keadaan berbirat walaupun selepas beberapa hari kejadian.
Menurut sumber dari ahli keluarga mangsa, difahamkan kanak-kanak tersebut dihantar ke rumah pengasuh di Shah Alam, Selangor seperti biasa pada pagi Khamis lalu dalam keadaan sihat.
Bagaimanapun, pengasuh terbabit meminta kebenaran untuk membawa kanak-kanak itu keluar dan akan menghantarnya pulang pada waktu malam.
ARTIKEL BERKAITAN: “Sumpah saya tak cengkam dia” - Pengasuh Gen Z nafi dera anak asuhan, beritahu sudah potong kuku selepas ditegur
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bersekedudukan dengan BF dera dua anak... Kejam tak bagi makan!
Sewaktu kanak-kanak tersebut dihantar sekitar pukul 9.39 malam, ketika itulah ibu bapanya melihat terdapat kesan kecederaan pada wajah anak mereka yang agak ketara dan serius.
Mengulas lanjut, Zehra berkata pihak keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut dan peguam untuk tindakan sewajarnya.
Perkongsian berkenaan ternyata mengundang kemarahan warga maya dengan rata-ratanya menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan kepada pengasuh terbabit.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun cedera selepas dihantar ke rumah pengasuh.
Ibu saudara mangsa memuat naik gambar kecederaan dan luahan sedih di media sosial.
Kanak-kanak tersebut dihantar dalam keadaan sihat, tetapi diambil semula dengan wajah berbirat.
Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, namun warga maya menggesa tindakan tegas diambil.
Ringkasan ini dijana oleh AI
"Dah jadi kes polis. Doakan Ean," ujar Zehra kepada mStar, namun enggan mengulas lanjut kerana kes sedang dalam siasatan polis.
Peguam yang telah dilantik oleh ibu dan bapa Ean, iaitu Nini Adila Wan Omar dari Tetuan Naim, Adib & Jailani ketika dihubungi memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa dan polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap kes ini.

Sebahagian daripada komen netizen.
"Pada masa yang sama, saya juga telah dilantik oleh ibu bapa adik Ean iaitu Encik Muhammad Zaim dan Puan Nur Ain untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat dalam tindakan sivil.
"Di Malaysia, undang-undang kita sangat melindungi kanak-kanak dari semua aspek termasuk keselamatan, kebajikan dan lain-lain, sebab itu kita ada akta khusus berkaitan kanak-kanak iaitu Akta Kanak-Kanak 2001.
"Jadi, bila berlaku kejadian tidak diingini seperti ini, tindakan tegas wajib diambil supaya tidak berulang lagi. Hari ni berlaku pada adik Ean, esok lusa mungkin anak-anak lain pula yang menjadi mangsa. Jadi kita perlu hentikan kejadian seperti ini," katanya.
Dalam pada itu dia juga menasihati ibu bapa supaya tidak takut untuk tampil ke depan dan buat laporan sekiranya berlaku perkara seumpama ini.
"Kita ada undang-undang, dan fungsi undang-undang ini adalah untuk melindungi kita semua," ujarnya lagi.


