DUA beradik masing-masing berusia empat dan 16 tahun diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan ibu kandung mereka dan teman lelaki wanita itu di sebuah rumah di Puchong, Selangor.Mereka dipercayai bukan sahaja tidak diberi makan, malah terpaksa tinggal dalam keadaan kotor sebelum diselamatkan pihak berkuasa pada Rabu. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua mangsa kini sedang menerima rawatan dan dalam tempoh pemerhatian di hospital."Siasatan awal yang dijalankan mendapati kediaman yang dihuni oleh kanak-kanak serta remaja ini tidak bersih selain tidak selamat untuk didiami."Kedua-dua mangsa juga dipercayai didera dengan tidak diberikan makan oleh ibu mereka. Salah seorang mangsa mengalami tekanan perasaan akibat penderaan yang dialami," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Bagaimanapun menurut beliau, pemeriksaan awal pihak hospital tidak menemui sebarang kesan parut lama pada tubuh mangsa.Sebelum ini, media melaporkan wanita terbabit bersama teman lelakinya yang dipercayai penagih dadah ditahan selepas disyaki mengabaikan dua anaknya di sebuah kediaman di Puchong.Penahanan dilakukan pada Rabu itu susulan maklumat yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai kes pengabaian kanak-kanak tersebut.Siasatan awal mendapati wanita berusia 37 tahun itu tinggal bersama teman lelakinya berusia 42 tahun serta dua anaknya yang menjadi mangsa pengabaian.