suria

Tragedi Aidiladha... Suami isteri naik Bezza bersama tiga beradik maut dirempuh Toyota Alphard

Keadaan kereta Perodua Bezza selepas rempuhan berlaku.

TRAGIS, lima sekeluarga termasuk empat beradik maut selepas kereta jenis Perodua Bezza dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di Kilometer 7 Jalan Jerantut – Maran, Pahang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam Jumaat itu, mangsa Mohamad Ikmal Ishak, 26, selaku pemandu dan isterinya Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, maut di tempat kejadian.

Turut terkorban ialah tiga adik-beradik Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani yang berusia 17 tahun.

Difahamkan, dua mangsa tersepit manakala tiga lagi tercampak keluar dari kereta.

Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Bota di Perak ke Jerantut, Pahang.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, kejadian berlaku ketika MPV dalam perjalanan dari Maran menghala ke bandar Jerantut melanggar Perodua Bezza yang tiba-tiba membuat pusingan U.

“Semasa sedang bergerak lurus, apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta jenis Perodua Bezza membuat pusingan U di persimpangan secara mengejut dan berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan itu.

“Akibat kemalangan ini pemandu dan empat penumpang kereta jenis Perodua Bezza meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Ibrahim berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.42 tengah malam mendapati dua mangsa tersepit manakala tiga lagi tercampak keluar dari kereta.

Katanya, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Lain