SEORANG wanita tampil merayu agar orang ramai berhenti menyebarkan video menyayat hati membabitkan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terjatuh dari tingkat 30 sebuah kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.Menerusi satu hantaran di media sosial, wanita dikenali sebagai Dieya Marissa berkata, dia merupakan antara petugas pengurusan di kondominium terbabit dan berada di lokasi kejadian ketika tragedi berlaku pada Khamis lalu. "Saya yang pakai baju putih ambil gambar tu. Maaf saya terpaksa ambil gambar sebab saya (kerja) bahagian pengurusan kondominium, nak buat laporan kejadian."Admin tolong delete video ni. Mak arwah (mangsa) dah maklumkan tidak rela arwah anaknya diambil video dan gambar untuk disebarkan," jelasnya.Menurut Dieya, tindakan menyebarkan video dan gambar kejadian dianggap mengundang trauma dan tidak menghormati perasaan ibu bapa mangsa yang masih dalam keadaan terkejut dan sedih."Tolong jangan sebarkan gambar atau video budak yang jatuh dari tingkat 30 tu. Hormat ibu bapa mangsa yang masih dalam keadaan sedih dan trauma. "Ibu mangsa meraung tak bagi siapa-siapa rakam dan ambil gambar untuk disebarkan," jelasnya lagi dalam hantaran susulan.Terdahulu, polis mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 30 di sebuah kondominium di Bukit Jalil, pada Khamis.Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 11.17 pagi.Kes kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).