PAKAR menyifatkan Malaysia telah berjaya menyediakan sambungan 5G yang mengagumkan sepanjang Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu.
Menurut laporan Bernama, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kerjasama pemain industri telekomunikasi tempatan, telah menyediakan tiga unit '5G in a box' bersaiz besar dan 26 unit bersaiz kecil bagi kegunaan sidang kemuncak tersebut.
Menurut pensyarah kanan Pusat Pengajian Teknologi Maklumat, Universiti Monash Malaysia, Dr Tan Chee Keong, dia percaya penggunaan unit inovatif '5G in a box' itu menjadi faktor utama kejayaan.
“Stesen pangkalan 5G yang padat dan mudah alih ini amat penting untuk menyediakan sambungan berkelajuan tinggi dan kukuh, dengan kelajuan dilaporkan antara 300Mbps hingga 600Mbps, dan mencapai sehingga 1Gbps di pusat media tempat berlangsungnya Sidang Kemuncak Asean di KL,” kata Tan dalam satu kenyataan kepada LifestyleTech.
Tambahnya, keupayaan ‘plug-and-play’ ini membolehkan rangkaian disediakan dengan pantas, kos efektif dan fleksibel yang mana ia penting untuk menampung lebih 1,200 petugas media dan perwakilan.
“Infrastruktur tradisional tidak praktikal untuk acara sementara seperti ini yang menuntut penggunaan jalur lebar tinggi secara intensif bagi tujuan laporan dan komunikasi masa nyata,” jelasnya.
Dengan pergerakan kakitangan yang sentiasa berubah dalam landskap acara kompleks melibatkan struktur sementara dan pelbagai bahan binaan, liputan isyarat yang tidak konsisten boleh menjadi cabaran besar, tambah Tan.
“Keupayaan fleksibel unit ini berjaya mengatasi kerumitan seni bina dan logistik, sekali gus memastikan akses jalur lebar tinggi secara berterusan di lokasi yang diperlukan,” katanya.
Dia turut menjelaskan sambungan berkelajuan tinggi dan lancar amat penting bagi memastikan komunikasi masa nyata, siaran langsung dan penyertaan secara maya dapat dilaksanakan tanpa gangguan.
“Menyediakan sambungan menyeluruh dalam acara antarabangsa seperti Sidang Kemuncak Asean adalah bukti jelas keupayaan teknologi sesebuah negara dan kesediaannya untuk menerima masa depan digital. Ia mencerminkan komitmen Malaysia terhadap transformasi digital dan keupayaannya menjadi tuan rumah kepada acara berteknologi tinggi,” ujar Tan.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata usaha MCMC memastikan kelancaran sambungan 5G di sidang kemuncak tersebut adalah langkah strategik yang selari dengan aspirasi negara untuk menerajui sempadan digital di Asia Tenggara.
“Penting untuk diakui kesediaan 5G bukan sekadar penanda aras teknikal. Ia adalah manifestasi komitmen Malaysia untuk menawarkan ekosistem digital yang selamat, pintar dan kompetitif,” katanya.

Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk kini dilaporkan mencecah 82.4 peratus setakat Disember 2024.
Dari sudut keselamatan, Siraj menjelaskan 5G membolehkan penggunaan sistem pemantauan canggih termasuk kamera berkuasa AI untuk mengesan anomali masa nyata dan pengecaman wajah.
Rangkaian itu juga membolehkan perkongsian dokumen serta persidangan video ultra definisi tinggi secara serta-merta dan penyelarasan logistik pintar yang secara langsung meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan.
“Infrastruktur digital bukan lagi sekadar keperluan teknikal, tetapi pemangkin utama kepada diplomasi moden dan tadbir urus bertaraf tinggi,” tambah Siraj.
Pakar teknologi dan pencipta kandungan, Adil Hidayat yang dikenali sebagai Pendakwah Teknologi turut menyokong langkah MCMC mempertingkatkan rangkaian dan liputan 5G di Sidang Kemuncak Asean.
“Apa yang lebih penting ialah tiada sebarang laporan mengenai internet perlahan atau isu sambungan sepanjang acara berlangsung. Itu sahaja sudah membuktikan kekuatan dan kebolehpercayaan infrastruktur 5G kita,” katanya.
Di Luar Sidang Kemuncak
Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk kini dilaporkan mencecah 82.4 peratus setakat Disember 2024, dengan lebih 53 peratus pengguna mudah alih kini menggunakan 5G berbanding hanya 24.6 peratus tahun sebelumnya.
Berdasarkan data Opensignal bagi suku pertama 2025 yang menunjukkan purata kelajuan muat turun 5G sekitar 237.5Mbps, Tan berkata ini membolehkan pengguna memuat turun fail besar dengan lebih pantas, menonton penstriman video 4K/8K dengan lebih lancar serta pengalaman lebih baik untuk aplikasi berasaskan awan berbanding 4G.
“Keupayaan untuk mencapai kelajuan melebihi 200Mbps di kawasan yang diliputi sememangnya satu peningkatan bermakna bagi aktiviti yang menggunakan data secara intensif,” katanya.
Tan percaya 5G juga menawarkan peningkatan keselamatan berbanding 4G dengan penyulitan dan pengesahan yang lebih kukuh, perlindungan data pengguna yang lebih baik serta ciri seperti network slicing yang membolehkan penciptaan rangkaian maya yang terasing dan sangat selamat.
Ia juga membolehkan integrasi berjuta-juta peranti IoT secara lebih selamat, sekali gus memberi keyakinan lebih tinggi kepada pengguna terhadap keselamatan data dan aktiviti dalam talian di dunia yang terdedah kepada ancaman siber.
Namun, bagi memastikan manfaat 5G dirasai sepenuhnya oleh seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, Tan berkata fokus tidak seharusnya hanya pada kelajuan dan liputan, tetapi juga kepada aspek kemampuan, keterangkuman dan manfaat nyata kepada rakyat.
“Yang penting, peralihan terkini kepada model dwi rangkaian 5G dijangka merangsang persaingan pasaran antara penyedia. Gabungan ini bersama pakej pelbagai dan disesuaikan, termasuk pilihan prabayar mampu milik, adalah penting untuk menurunkan kos kepada pengguna,” jelasnya.
Tambahnya, pelaksanaan berterusan 5G perlu mengutamakan kawasan luar bandar dan pedalaman dengan mengatasi cabaran birokrasi dan logistik serta menerapkan penyelesaian inovatif seperti Fixed Wireless Access.
“Memberi keutamaan kepada komuniti ini seperti yang digariskan dalam fasa kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) adalah penting. Cara pelaksanaan 5G di Sidang Kemuncak Asean dan inisiatif berterusan membuktikan komitmen Malaysia terhadap matlamat transformasi digitalnya,” ujarnya.
Siraj turut mengakui kekuatan sambungan 5G di sidang kemuncak tersebut sebagai detik membanggakan buat Malaysia, namun menegaskan ia perlu dilihat sebagai permulaan kepada perubahan yang lebih besar.
“Langkah seterusnya ialah memastikan teknologi ini menjadi asas kepada ekosistem digital yang inklusif, selamat dan berimpak tinggi yang benar-benar dapat meningkatkan kualiti hidup harian rakyat Malaysia,” katanya.
Tan bersetuju, dan menambah bahawa inisiatif Jendela yang telah mencatatkan lebih 9.03 juta premis dengan sambungan Internet berkelajuan tinggi/gentian, menyediakan asas kukuh dengan memperluaskan liputan jalur lebar tetap dan mudah alih di seluruh negara serta bersiap sedia untuk peralihan 5G merentasi semua segmen bagi mewujudkan asas digital yang menyeluruh dan saksama.
“Kesemua usaha ini membuktikan Malaysia benar-benar serius terhadap aspirasi MyDigital, menunjukkan kepada dunia bahawa negara ini bersifat dinamik, berpandangan jauh dan bersedia untuk merebut sepenuhnya potensi era digital demi pertumbuhan mampan dan masa depan yang lebih baik untuk semua,” kata Tan.


