suria

Cikgu tuisyen menyamar duduki ujian bahasa Inggeris, nak bantu pelajar masuk universiti… Kantoi edit foto elak identiti dikesan

Suspek ditahan selepas mengaku bersalah semasa soal siasat dilakukan. -Gambar hiasan AI

 

SEORANG tutor sebuah pusat tuisyen ditahan selepas didakwa menyamar sebagai pelajar untuk menduduki peperiksaan bahasa Inggeris bagi membantu bekas anak muridnya mendapatkan tempat di sebuah universiti terkenal di Jepun.

Polis wilayah Osaka berkata pada Isnin, suspek dikenali sebagai Mizuki Noguchi, 35, mengaku mengambil ujian dan mengemukakan permohonan kemasukan universiti bagi pihak bekas pelajarnya itu.

Menurut pihak berkuasa, pelajar lelaki terbabit pada mulanya berjaya diterima masuk ke Kindai University sebelum tawaran kemasukannya dibatalkan selepas penipuan tersebut terbongkar.

Siasatan mendapati Noguchi dipercayai menduduki peperiksaan Grade 2 Eiken Test in Practical English Proficiency pada September tahun lalu sebelum menggunakan keputusan itu untuk memohon kemasukan ke universiti berkenaan pada November.

Lebih mengejutkan, permohonan itu turut disertakan gambar dipercayai hasil gabungan wajah suspek dan pelajar terbabit bagi mengelakkan identiti sebenar dikesan.

Gambar tersebut bagaimanapun membuatkan keluarga pelajar terbabit menghubungi pihak universiti selepas menyedari foto pada kad pelajarnya tidak sama sekali gus membongkar penipuan yang berlaku.

Universiti tersebut kemudian membuat laporan kepada polis Osaka pada April lalu dan bertindak menarik balik tawaran kemasukan pelajar berkenaan.

Dalam pada itu, polis turut menjalankan siasatan lanjut terhadap pelajar tersebut yang secara sukarela ingin membantu kes.

Sementara itu, Trygroup Inc., syarikat pengendali perkhidmatan tuisyen di seluruh Jepun memaklumkan suspek bekerja dengan mereka ketika kejadian berlaku.

Syarikat itu berkata, pihaknya memandang serius kes berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan dijalankan.

Untuk rekod, Kindai University sebelum ini dikenali di Jepun kerana kejayaan dalam bidang penyelidikan termasuk penternakan penuh ikan tuna sirip biru serta pembiakan belut Jepun secara terkawal. -Agensi

Artikel Lain