suria

10 tahun hidup gelandangan di pasar raya, warga emas tak suka duduk rumah sendiri bimbang mati keseorangan

Warga emas tinggal di pintu masuk pasar raya sejak 10 tahun lalu. -Gambar QQ.com

SEORANG lelaki warga emas tinggal di sebuah pasar raya selama hampir 10 tahun walaupun memiliki sebuah rumah sendiri, demi mengelakkan rasa kesunyian.

Lelaki yang dikenali sebagai Qiangming berusia 78 tahun memilih untuk menetap di kawasan pintu masuk staf pasar raya tersebut selepas berpisah dengan isterinya pada tahun 2000 dan mengalami kesunyian berpanjangan.

Dia dilaporkan tidur di atas tikar, berehat di ruang makan pasar raya pada siang hari, serta membawa sejumlah wang tunai bersama perakam video setiap masa.

Walaupun memiliki sebuah flat kecil berkeluasan kira-kira 20 meter persegi di Shanghai, China, Qiangming dikatakan enggan tinggal di rumah tersebut kerana takut hidup dan mati bersendirian.

Pada 2021, dia bertemu seorang pengasuh wanita di pasar raya berkenaan yang kemudian mula membantu menjaga kebajikannya, termasuk mencuci rambut, membawa makanan dan menjaga kebersihannya.

Hubungan itu semakin rapat sehingga lelaki berkenaan menganggap wanita tersebut seperti anak angkat dan berhasrat menyerahkan rumahnya sebagai balasan terhadap penjagaan diberikan.

Bagaimanapun, rancangan itu ditentang oleh anak lelakinya yang kemudian membawa kes tersebut ke mahkamah dan berjaya mendapatkan hak pemilikan rumah berkenaan.

Mahkamah memutuskan anak lelaki itu sebagai pemilik sah, menyebabkan warga emas berkenaan kehilangan kediamannya, manakala rumah tersebut kemudian disewakan.

Selepas kehilangan rumah, wanita itu masih terus menjaga lelaki tersebut dan membawanya tinggal di kediaman sewa miliknya bagi memastikan kebajikannya terpelihara. -Agensi

Artikel Lain