SEORANG lelaki berusia 68 tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan LRT di Stesen Segar di Singapura sebelum dilanggar sebuah tren pada Isnin.Menurut Polis Singapura (SPF), pihaknya menerima panggilan bantuan sekitar 5.50 pagi, manakala pengendali SMRT memaklumkan seorang lelaki dilihat memasuki landasan sekitar pukul 5 pagi. Menurut laporan media tempatan Shin Min Daily News, mangsa dipercayai telah diseret sejauh kira-kira 20 meter selepas dilanggar tren, dan ditemui dalam keadaan tubuh terputus dua di lokasi kejadian.Polis bagaimanapun menyatakan tiada unsur jenayah disyaki setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.Insiden itu menyebabkan perkhidmatan tren dihentikan sementara selama kira-kira lima jam bagi memberi laluan kepada siasatan dan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian.Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat mengeluarkan mayat mangsa dari landasan sekitar 8.40 pagi sebelum dibawa masuk ke dalam stesen untuk siasatan forensik.Kawasan kejadian turut dipasang sekatan dengan kehadiran ramai pegawai polis serta kakitangan stesen yang dilihat menjalankan siasatan di lokasi.Saksi kejadian turut melaporkan melihat sebuah khemah biru dipasang di landasan serta kain putih berhampiran kawasan platform.Ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi dan dilaporkan berada dalam keadaan pilu selepas mengenal pasti identiti mangsa.Anak lelaki mangsa dilihat menangis sebelum dibawa keluar oleh polis, manakala seorang wanita dipercayai isterinya turut pengsan dan dibantu paramedik sebelum dihantar ke hospital. -Agensi