suria

Israel ‘langgar’ perjanjian gencatan senjata, terus bedil selatan Lubnan… Tujuh individu terbunuh

Kepulan asap di selatan Lubnan akibat serangan Israel pada Sabtu. -Gambar AFP

SEKURANG-kurangnya tujuh individu terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam siri serangan udara dan bedilan artileri Israel di selatan Lubnan pada Sabtu meskipun perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua negara dilanjutkan selama 45 hari.

Menurut agensi berita kebangsaan Lubnan, serangan artileri Israel di kawasan berhampiran persimpangan Srebbine di daerah Bint Jbeil, wilayah Nabatieh mengorbankan seorang individu dan mencederakan seorang lagi.

Pesawat pejuang Israel itu turut melancarkan serangan di bandar Jebal al-Botm dan kawasan Housh di daerah Tyre.

Dalam satu lagi serangan, beberapa individu dilaporkan cedera selepas sebuah rumah di bandar Tayr Felsay dibedil.

Dua lagi mangsa, iaitu pasangan suami isteri dilaporkan maut selepas rumah mereka di kawasan al-Saha, bandar Habboush musnah akibat serangan udara.

Bekas Datuk Bandar Aitaroun yang juga ahli majlis perbandaran semasa, Haidar Mawasi turut terbunuh selepas rumah di bandar Tebnine menjadi sasaran serangan pesawat pejuang Israel.

Selain itu, seorang wanita dan anak lelakinya yang merupakan anggota paramedik Unit Kecemasan Persatuan Pengakap Risala Islamik turut maut selepas rumah mereka di Tayr Felsay diserang.

Lima lagi mangsa cedera dalam kejadian tersebut dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Pasukan penyelamat kini masih menjalankan operasi mencari mangsa lain di bawah runtuhan bangunan yang musnah.

Terdahulu, tentera Israel dilaporkan menyasarkan hampir 100 lokasi di selatan Lubnan selain mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk di sembilan kampung dan bandar sebelum serangan dilancarkan.

Situasi itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat mengumumkan lanjutan gencatan senjata antara Israel dan Lubnan bermula 17 Mei susulan rundingan kedua-dua pihak di Washington.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, sejak 2 Mac lalu serangan Israel telah mengorbankan hampir 3,000 orang, mencederakan hampir 9,000 individu serta menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.-Agensi

Artikel Lain