suria

Anggota tentera maut ditembak rakan sendiri, berang bergesel ketika asyik menari

Mayat mangsa dihantar untuk proses bedah siasat. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki berusia 23 tahun maut selepas ditembak rakannya sendiri susulan pertengkaran kecil yang berlaku akibat tergesel ketika menari.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kafe di kawasan Ilir Barat (IB) I, Palembang di Indonesia, awal pagi Sabtu.

Berdasarkan laporan, kejadian berlaku apabila suspek berusia 23 tahun menghampiri mangsa yang sedang menari sehingga berlaku geselan yang mencetuskan salah faham dan pertengkaran.

Difahamkan, suspek mendakwa dia diserang oleh mangsa bersama beberapa lagi rakan sebelum bertindak mengeluarkan pistol dari pinggang dan melepaskan satu das tembakan yang terkena pada bahagian kanan perut mangsa.

Akibat tembakan tersebut, mangsa dikejarkan ke Hospital Permata untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi akibat kecederaan dialami.

Ketua Polis Sektor IB I Palembang, Fauzi Saleh berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami satu luka tembakan di bahagian kanan perut yang dipercayai menjadi punca kematiannya.

Tambahnya, mayat mangsa kini ditempatkan di Hospital Permata untuk proses bedah siasat.

Kes berkenaan telah diserahkan kepada Polis Tentera Darat Palembang (POM AD) untuk tindakan lanjut memandangkan kedua-dua individu dipercayai mempunyai kaitan dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI). -Agensi

Artikel Lain