suria

Sempat rakam selepas dipatuk! Tak sedar bermain dengan ular paling berbisa... Remaja maut, rakan pula kritikal

Mangsa sempat dirakam bermain dengan ular berkenaan selepas dipatuk kerana tidak menyedari ia spesies berbahaya. -Foto Istimewa

TINDAKAN dua lelaki memandang ringan gigitan ular katam tebu mengundang padah apabila seorang daripadanya maut, manakala seorang lagi kini kritikal di hospital.

Menurut polis, dalam kejadian yang berlaku di Pasir Jaya, Bogor Barat, Jawa Barat sekitar pukul 7 malam, Selasa lalu, kedua-dua lelaki terbabit sedang melepak sebelum seekor ular berbelang hitam putih tiba-tiba muncul dan mematuk salah seorang daripada mereka.

Ketua Polis Bogor Barat, AKP Didin Komarudin berkata, rakan mangsa dikatakan cuba menangkap ular belang hitam putih tersebut namun dia turut dipatuk di tangan kiri.

"Mangsa yang maut dikenali sebagai UZ, 18, manakala rakannya, HE, 21, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ummi, Bandar Bogor," katanya ketika mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu Ketua Kampung Pasir Jaya, Rizky Dwi Nugraha berkata, kedua-dua mangsa dipercayai tidak menyedari ular tersebut merupakan spesies berbisa yang boleh menyebabkan maut jika tidak dirawat segera.

Malah, ujarnya, mereka sempat membuat rakaman bermain dengan ular tersebut selepas dipatuk.

Kedua-dua mereka hanya mula mengalami simptom serius akibat bisa ular pada pagi keesokan harinya sebelum dikejarkan ke hospital.

UZ bagaimanapun disahkan meninggal dunia manakala HE kini masih bertarung nyawa di ICU.

Jasad UZ telah selamat dikebumikan keluarganya pada petang Rabu.

Memetik perkongsian Ultimate Petting Zoo, ular katam tebu (Malayan Krait) secara umumnya dijumpai di kawasan rendah dan kawasan perairan sepanjang sungai, sawah padi dan pesisir pantai.

Pergerakan agak perlahan tetapi patukannya sangat bahaya dan boleh membawa maut. -Agensi

 

Artikel Lain