suria

Padah tendang pintu pagar automatik di airport, pelancong didenda RM54,000... Diharamkan masuk Thailand seumur hidup!

Tangkap layar (screenshot) daripada video memaparkan insiden seorang pelancong lelaki warga China menendang pintu pagar automatik di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

TINDAKAN seorang pelancong warga China mengamuk dan merosakkan pintu pagar automatik imigresen di Lapangan Terbang Suvarnabhumi membawa padah apabila dia diharamkan memasuki Thailand seumur hidup.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 petang pada 13 Mei lalu, lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai berang ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen sebelum bertindak menendang pintu pagar automatik.

Menurut laporan media tempatan, Khaosod, lelaki terbabit dikenali sebagai Zheng Liwei, dijadual menaiki penerbangan Spring Airlines ke Shanghai ketika itu.

Rakaman video yang tular menunjukkan Zheng menghampiri pintu pagar automatik sebelum menghempas pasportnya pada alat pengimbas kerana dipercayai gagal melepasi sistem pemeriksaan.

Berang dengan situasi tersebut, Zheng bertindak menendang pintu pagar automatik sebelum berjalan masuk tanpa kebenaran walaupun terdapat individu di hujung laluan cuba menghalangnya.

Pegawai imigresen Thailand kemudian cuba menahan Zheng, namun lelaki itu dikatakan melawan dan memaki hamun petugas tersebut. 

Situasi menjadi tegang sebelum isterinya campur tangan untuk menenangkannya sebelum Zheng akhirnya berjaya diberkas polis.

Susulan kejadian itu, dia dikenakan denda sebanyak 450,000 baht (kira-kira RM54,583) selain berdepan tindakan pendakwaan lanjut.

Pihak berkuasa Thailand turut mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan lelaki tersebut daripada memasuki negara itu buat selama-lamanya. 

Polis Thailand menjelaskan bahawa Zheng telah meletakkan pasportnya secara salah pada alat pengimbas, menyebabkan pintu pagar automatik itu gagal dibuka. -Agensi

Artikel Lain