suria

Bengang tanggung bil utiliti seorang diri, wanita tikam teman lelaki... Hilang sabar tengok mangsa bersenang-lenang dalam bilik

Senjata yang digunakan suspek dalam insiden berkenaan. -Foto Matichon/Thaiger

SEORANG wanita bertindak menikam kekasihnya selepas dipercayai hilang sabar melihat lelaki itu hanya berehat di rumah dan enggan keluar mencari kerja.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam pada 9 Mei lalu di sebuah asrama di Chon Buri, Thailand, mangsa yang berusia 22 tahun mengalami kecederaan di bahu kiri akibat tikaman.

Menurut polis dari Balai Polis Pan Thong, mangsa didapati berada di luar bilik asrama berkenaan sementara pasukan penyelamat memberikan rawatan awal.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun kecederaannya dilaporkan tidak serius.

Suspek yang merupakan teman wanita mangsa berusia 28 tahun turut berada di lokasi kejadian dan menyerah diri kepada pihak polis.

Dalam kenyataan kepada polis, suspek memaklumkan dia baru pulang dari kerja di sebuah kilang sebelum mendapati teman lelakinya sedang berehat di dalam bilik dengan lampu serta kipas elektrik dibiarkan terpasang.

Menurutnya, dia mula berasa tertekan kerana perlu menanggung semua perbelanjaan rumah selepas teman lelakinya kehilangan pekerjaan dan berpindah tinggal bersamanya sejak 16 April lalu.

Dia turut mendakwa lelaki itu tidak berusaha bersungguh-sungguh mencari pekerjaan, sedangkan dia bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka berdua.

Keadaan kemudian bertukar tegang apabila mereka bertengkar sebelum suspek dipercayai menikam teman lelakinya menggunakan senjata tajam.

Akibat panik dan kesakitan, mangsa melarikan diri keluar dari bilik untuk mendapatkan bantuan jiran dan pasukan penyelamat.

Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan belum memaklumkan maklumat pertuduhan rasmi terhadap suspek. -Agensi

Artikel Lain