PADAH membiarkan anak tanpa pengawasan, sebuah bangunan pejabat hampir musnah dijilat api selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bertindak bermain api di ruang kerja ibu bapanya.Tragedi yang berlaku di Ningbo, wilayah Zhejiang pada 30 April lalu itu bermula apabila kanak-kanak berkenaan dibawa ke pejabat dengan tujuan untuk meluangkan masa bersama dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.Bagaimanapun, keadaan bertukar cemas apabila kanak-kanak terbabit ditinggalkan bersendirian di dalam pejabat sementara orang tuanya sibuk bekerja.Difahamkan, kerana bosan, budak lelaki itu bertindak membakar tisu menggunakan pemetik api. Api kemudian terkena beberapa barangan mudah terbakar berhampiran meja sebelum merebak dengan pantas dan mencetuskan kebakaran besar di ruang pejabat berkenaan.Menyedari api semakin marak, kanak-kanak itu segera menghubungi orang tuanya untuk meminta bantuan sebelum anggota bomba dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.Sementara menunggu pasukan penyelamat tiba, pekerja lain cuba mengawal kebakaran menggunakan alat pemadam api jenis serbuk kering.Walaupun sebahagian besar api berjaya dipadamkan sebelum ketibaan anggota bomba, pejabat berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan teruk dan hampir musnah sepenuhnya.Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, namun kerugian dianggarkan mencecah puluhan ribu yuan.Setakat ini, pihak berkuasa belum mendedahkan sama ada orang tua kanak-kanak tersebut akan dikenakan sebarang tindakan susulan berhubung insiden berkenaan. -Agensi