suria

Wanita terkejut suami mengaku bunuh skandal, cemburu kekasih curang dengan rider e-hailing

Mangsa dipukul di rumah sewanya sebelum diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan semasa suspek menyerah diri. -Foto Thaiger

SEORANG lelaki ditahan selepas membunuh wanita simpanannya gara-gara cemburu mangsa curang dengan seorang pemandu teksi motosikal.

Suspek berusia 42 tahun turut mengakui melakukan perbuatan itu kepada isteri sebelum tampil menyerah diri di balai polis.

Apa lebih mengejutkan, suspek turut membawa mayat mangsa ke balai polis yang diletakkan di tempat duduk hadapan keretanya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Bang Bua Thong, Thailand.

Berdasarkan laporan, polis menerima panggilan daripada isteri suspek sekitar pukul 10 malam pada Selasa.

Wanita dikenali sebagai Bee itu memaklumkan suaminya, Winai, telah memukul teman wanitanya hingga maut selepas berlaku pertengkaran.

Bee turut memberitahu suaminya bercadang menyerah diri dan meminta polis tidak melancarkan operasi memburu kerana lelaki itu sedang menuju ke balai polis.

Kira-kira pukul 10 pagi Rabu, suspek tiba di balai polis untuk menyerah diri.

Dia kemudian membawa polis ke sebuah kereta Toyota sedan berwarna gangsa yang diparkir di luar balai, sebelum mayat mangsa ditemukan di tempat duduk penumpang hadapan dalam keadaan ditutupi tuala.

Pemeriksaan mendapati wanita itu mengalami kecederaan parah dan lebam pada bahagian muka termasuk trauma teruk pada mata kanan.

Siasatan mendapati suspek menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa sejak setahun lalu dan sering mengunjungi rumah sewa wanita itu di Bang Plu, Nonthaburi.

Menurut pengakuannya, pertengkaran tercetus selepas dia melihat mangsa menunjukkan kemesraan dengan seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu teksi motosikal.

Suspek mendakwa dia turut ternampak pasangan itu memasuki sebuah hotel bersama sebelum bertindak bersemuka dengan mangsa.

Pada awalnya wanita itu menafikan hubungan tersebut, namun kemudian mengaku selepas suspek menyebut mengenai kejadian di hotel berkenaan.

Pengakuan itu dikatakan menyebabkan suspek hilang kawalan lalu bertindak memukul mangsa. -Agensi

Artikel Lain