Hubungan percintaan mendorong seorang wanita membantu kekasihnya merompak keluarga sendiri. -Gambar hiasan AI
SEORANG wanita tergamak bersekongkol dengan teman lelaki bagi merompak rumah keluarganya sendiri selepas hubungan cinta mereka tidak direstui kerana perbezaan taraf hidup.Dalam kejadian di Moradabad, Uttar Pradesh, India, wanita itu didakwa membantu teman lelakinya dan beberapa rakan melakukan rompakan bersenjata di kediaman keluarganya pada awal pagi Isnin lalu. Menurut polis, lima suspek termasuk wanita dikenali sebagai Ariba dan teman lelakinya, Arshad Warsi, berjaya diberkas bagi membantu siasatan kes tersebut."Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika beberapa lelaki bersenjata menyerbu rumah ahli perniagaan tembaga, Mohammad Imran."Suspek dikatakan mengacukan pistol kepada ahli keluarga wanita terbabit sebelum melarikan wang tunai dan barang kemas bernilai hampir Rs 1.2 crore (kira-kira RM493,705)," ujarnya.Tambah polis, kumpulan itu turut melarikan perakam video digital (DVR) yang disambungkan kepada kamera litar tertutup (CCTV) sebelum meloloskan diri.Susulan kejadian itu, beberapa pasukan khas polis ditubuhkan bagi menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman CCTV di kawasan berhampiran.Hasil siasatan mendapati Ariba menjalinkan hubungan cinta dengan Arshad yang berasal dari Amroha sejak lapan tahun lalu.Disebabkan hubungan mereka tidak mendapat restu keluarga kerana berlainan kasta, pasangan itu didakwa merancang untuk memulakan hidup baharu menggunakan wang hasil rompakan tersebut.Polis berkata, Ariba dipercayai memberi maklumat kepada teman lelakinya mengenai wang tunai yang disimpan di dalam rumah.Malah, dia turut didakwa menyerahkan kunci pagar utama kepada Arshad sebulan sebelum kejadian dan membuka kunci digital dari dalam rumah pada hari rompakan bagi memudahkan suspek masuk.Polis berjaya merampas wang tunai berjumlah Rs 47.24 lakh (kira-kira RM194,000), empat pistol buatan sendiri, lima telefon bimbit dan dua kereta daripada suspek.Usaha kini sedang dijalankan bagi mengesan baki wang yang hilang serta individu lain yang mungkin terlibat dalam kejadian itu. -Agensi