suria

Klangit kongsi pengalaman sebenar, ada cerita kolaborasi Dina Rijeu dalam ‘Kau Bersama Dia’

Klangit sentuh emosi pendengar dalam lagu baharu.

TAMPIL dengan sebuah lagu baharu berjudul Kau Bersama Dia, kumpulan Klangit memberi kelainan apabila mereka berkolaborasi dengan penyanyi wanita, Dina Rijeu.

Menerusi gandingan dua karakter vokal berbeza, lagu ini disampaikan dengan lebih emosi selain dapat menghidupkan jalan cerita.

"Kehadiran dua perspektif suara lelaki dan wanita bukan sahaja menambah kedalaman emosi, malah memberikan dimensi naratif yang lebih menyeluruh terhadap jalan cerita lagu ini.

Dina berkolaborasi dengan Klangit. 

"Tona vokal Dina yang penuh rasa dipadankan dengan karakter vokal Ary yang tersendiri, sekali gus menghasilkan keseimbangan yang memperkayakan keseluruhan pengalaman mendengar," jelas wakil kumpulan berkenaan.

Bercakap tentang lagu ciptaan mereka ini, Klangit berkata karya tersebut merupakan satu refleksi kepada realiti kehidupan yang sering dilalui ramai orang.

Mengangkat kisah tentang kehilangan, lagu ini juga ditulis berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui setiap anggota.

ARTIKEL BERKAITAN: X-Factor buat ‘comeback’, bakal lancar single untuk peminat generasi baharu 

ARTIKEL BERKAITAN: Radja kembali hiburkan peminat Malaysia, undang ‘Raja Rock’ rai 25 tahun dalam industri

Biarpun susunan muziknya penuh emosi, penulis lirik memilih gaya penulisan yang cukup ringkas agar lebih dekat dengan pendengar.

"Lagu ini tidak lahir daripada imaginasi semata-mata, sebaliknya diinspirasikan daripada pengalaman sebenar yang pernah dilalui oleh ahli kumpulan Klangit sendiri serta kisah-kisah individu di sekeliling.

"Proses ini mengambil masa beberapa bulan, membuktikan komitmen Klangit dalam memastikan setiap aspek karya ini mencapai tahap kualiti yang diinginkan," ujar mereka.

Klangit mahu terus hiburkan peminat dengan lagu baharu.

Bagi melengkapkan lagi penceritaan, muzik video rasmi turut dihasilkan dengan pendekatan visual yang sederhana namun sarat emosi.

Karya ini juga menjadi tanda Klangit akan terus aktif menghasilkan lagu-lagu baharu, memperbanyakkan persembahan secara langsung serta memperluaskan capaian muzik mereka.

Untuk info, Klangit dianggotai oleh Ary selaku vokalis, Ayieb (dram), Shem (bes), Haris (gitar) dan Largh (gitar).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain