suria

Penyanyi Malaysia pertama raih 1 bilion strim Spotify, Yuna tak pernah letak sasaran angka

Yuna sentiasa fokus menghasilkan karya terbaik.

PENYANYI Yuna melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai artis Malaysia pertama mencapai 1 bilion penstriman di platform Spotify baru-baru ini.

Berkongsi mengenai pencapaian tersebut, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai, 40, berkata kejayaan itu tidak pernah dijangka malah hadir sebagai satu kejutan manis dalam perjalanan seninya.

“Alhamdulillah. Sejujurnya, bila saya mulakan perjalanan ini, saya tak pernah pun letakkan sasaran untuk capai 1 bilion penstriman.

“Walaupun saya dianggap artis besar, sasaran itu terasa agak jauh dan tidak realistik untuk saya. 1 bilion strim ini membuktikan walaupun saya bergerak secara bebas, saya masih boleh lakukannya.

Kejayaan mencapai 1 bilion penstriman bukti Yuna terus mendapat sokongan peminat. 

“Jadi bagi saya, selagi ada orang dengar dan terus strim lagu-lagu saya, saya sudah cukup bersyukur dan gembira,” katanya kepada mStar.

Yuna berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Ajar Aku nyanyian Aizat Amdan bersama kumpulan Sekumpulan Orang Gila (SOG) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, Yuna berkata dia hanya mengetahui berita gembira itu daripada seorang peminat setianya yang sentiasa mengikuti perkembangan kerjaya seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Yuna sedia bergelar ibu, mohon doa dipermudahkan rezeki zuriat… “Kini di tempat yang betul” 

ARTIKEL BERKAITAN: Yuna gembira ‘Crush’ terus jadi pilihan peminat di platform penstriman, luah hasrat bekerjasama dengan Noh Salleh

Meskipun pernah berkarya di luar negara, dia bersyukur apabila peminat di Malaysia sentiasa menyokong karyanya.

“Ia bukan satu sasaran, tapi sesuatu yang datang secara semula jadi. Saya buat muzik untuk seronok, bersama kawan-kawan dan untuk diri sendiri.

“Jadi ini seperti bonus yang indah dalam kerjaya saya, dan juga untuk rakyat Malaysia.

“Saya gembira kerana sehingga hari ini, peminat terutamanya dari Malaysia masih menyokong dan menstrim lagu saya. Kalau nombor satu biasanya dari Amerika Syarikat, nombor dua selalunya Malaysia,” ujarnya.

Bukan tak kisah, tapi saya tak terlalu menekankan pencapaian

YUNA

PENYANYI 

Dalam pada itu, Yuna menegaskan dia bukan seorang yang terlalu memikirkan soal pencapaian angka, sebaliknya lebih fokus terhadap karya yang dihasilkan.

“Saya rasa orang pun tahu saya bukan jenis yang terlalu memikirkan perkara itu. Bukan tak kisah, tapi saya tak terlalu menekankan pencapaian.

“Bagi saya, ‘Oh, 1 bilion, okey, bagus.’ Tapi yang penting sekarang, apa seterusnya?

Yuna sentiasa mencari idea baharu dalam berkarya. 

“Saya nak cari projek yang bermakna dan memberi kepuasan jiwa. Kalau saya dapat buat itu, saya sudah gembira,” kongsinya.

Terdahulu, nama Yuna meraih perhatian ramai apabila menjadi artis Malaysia pertama yang mencecah 1 billion stream di platform muzik Spotify.

Berdasarkan perkongsian peminat, Yuna dilihat mempunyai lebih 3.7 juta pendengar bulanan serta jumlah pengikut melebihi 476,000 pengguna.

Antara negara yang mencatatkan jumlah pendengar tertinggi untuk karya Yuna termasuk Amerika Syarikat, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Australia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain