suria

Anak Ani Maiyuni dakwa jadi mangsa buli, rambut ditarik sampai tak boleh bernafas... Bertahun-tahun Viviana simpan kisah hitam

Viviana (kanan) mahu beri kesedaran tentang kes buli.

BERKONGSI pengalaman menjadi mangsa buli, anak kepada penyanyi Ani Maiyuni iaitu Viviana memberitahu tidak mudah untuknya meluahkan tentang perkara tersebut.

Biarpun melalui pengalaman yang teruk, Viviana menganggap setiap perbuatan itu mempunyai hikmah buat dirinya.

"Percayalah, ambil masa bertahun-tahun untuk saya buka cerita ini sebab ia masih segar dalam ingatan. Alhamdulillah, ada hikmah di sebalik semua yang berlaku," katanya dalam satu hantaran di Threads.

Perkongsian Viviana di Threads. 

Viviana bersama ibunya sebelum ini berkongsi pengalaman tersebut ketika menjadi tetamu dalam program podcast Kita Kita Aje yang dikendalikan oleh pengacara Datuk Aznil Nawawi.

Tanpa menyebut sebarang nama, Viviana mendedahkan kejadian tersebut melibatkan beberapa pemain bola jaring ketika dia mengikuti latihan sukan berkenaan di sekolah.

Tambah peserta program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) itu, tujuannya membuat pendedahan tersebut adalah untuk memberi kesedaran terhadap kes buli di sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Vida bantu pulih semangat Viviana, Ani Maiyuni jawab dakwaan anak kena gangguan mistik 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kecaman tanda kehadiran anak disedari... Ani Maiyuni tahu Viviana kuat, mampu hadap kejian netizen

"Saya tidak sebut nama dan hanya orang sekeliling sahaja yang tahu. Sekadar kesedaran untuk semua orang. Katakan tidak kepada buli," tegasnya.

Menerusi klip podcast Kita Kita Aje, Viviana menceritakan situasi yang dialami apabila dia menjadi mangsa kekerasan beberapa pelajar senior di sekolah.

Viviana menceritakan kejadian yang dialami. 

Antara kejadian teruk yang dilaluinya ialah apabila tangannya dipegang, rambutnya ditarik dan mulutnya disumbat dengan kain tudung.

Penyanyi itu juga menggambarkan dirinya sukar bernafas ketika kejadian itu berlaku.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain