suria

“Apabila aku lepas, bau tu hilang” - Anak tak dapat lupa harum dahi ibu sebelum meninggal dunia

Melakukan amal ibadat dengan niat mendapatkan pahala akhirat adalah tujuan utama seorang Muslim. -Gambar hiasan AI

ANTARA impian bagi setiap umat Islam adalah untuk mengakhiri kehidupan dalam keadaan yang baik serta memperoleh husnul khatimah ketika dijemput Ilahi.

Seorang wanita mengundang sebak ramai apabila berkongsi detik terakhir pemergian ibunya, termasuk pengalaman menghidu bau harum pada dahi arwah.

Katanya situasi itu berlaku sebelum si ibu menghembuskan nafas terakhir.

Menurut wanita itu, ketika itu dia baru sahaja tiba dari Bangi, Selangor sebelum bergegas masuk ke rumah selepas dimaklumkan keadaan ibunya yang menghidap rheumatoid arthritis semakin nazak.

"Dalam hati... ayah letak minyak wangi ke? Menyempat pula bini nazak letak minyak wangi. Tapi aku tengok ayah dan adik dah teresak-esak menangis. Jadi apa yang aku fikir tu, tak mungkin berlaku.

"Aku tengok sekeliling katil mak, atas meja semua tak ada pun botol minyak wangi. Terus aku meluru masuk bilik, cium tangan dan dahi mak. Wangi, ya wangi. Aku kucup dahi mak.

Membaca al-Quran merupakan amalan mulia yang dituntut dalam Islam. -Gambar hiasan

"Lama, sebab bau tu menarik perhatian aku. Dalam hati, takkan letak minyak wangi dekat dahi umi pula? Tapi apabila aku lepas, bau tu hilang. Tak ada bau yang melekat dekat aku," ceritanya di Threads.

Dalam keadaan menahan sebak kerana merasakan ibunya bakal pergi buat selama-lamanya, dia memegang tangan wanita itu sambil meminta maaf serta membimbing mengucap dua kalimah syahadah.

Katanya, selepas beberapa kali dia mengajar ibunya menyebut Lailahaillallah, arwah menarik nafas dengan sangat perlahan sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir dengan tenang.

Suasana menjadi lebih memilukan apabila dia buat pertama kali melihat bapa serta adik lelakinya menangis teresak-esak kerana kehilangan insan paling berharga dalam hidup mereka.

"Aku datang dekat ayah, usap-usap belakang dia. Aku datang dekat adik dan peluk dia. Esok paginya lepas Subuh ayah balik dari masjid, aku nampak dia masuk bilik yang ada jenazah umi.

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula didera bapa, kemudian jadi gelandangan… Dua beradik kematian ibu dihalau saudara - “Baju dicampak lepas balik sekolah”

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ibu meninggal 3 hari sebelum Aidilfitri... Remaja ini menangis gembira raih keputusan SPM 8A

"Aku tengok je dari pintu, ayah mengaji sebelah umi. Dia buat rutin selalu, mengaji sebelah umi selepas Subuh, Zohor dan Maghrib. Habis mengaji, ayah cium umi buat kali terakhir.

"Mata aku terus mengalir laju dan sambil menaip ni pun air mata aku mengalir," imbasnya lagi lalu menitipkan doa buat arwah ibunya dalam hantaran sama.

Menurut wanita itu, arwah ibunya menanggung sakit rheumatoid arthritis sejak dia masih di bangku sekolah rendah sehingga usianya kini hampir mencecah 30 tahun.

Penyakit itu bermula dengan sakit lutut sebelum menjadi semakin serius sehingga ibunya tidak mampu berdiri lama dan akhirnya lumpuh serta terpaksa menggunakan kerusi roda.

Malah, arwah sempat dimasukkan ke wad selama hampir sebulan sebelum doktor meminta pihak keluarga membawanya pulang kerana keadaannya yang sudah terlalu uzur.

  • Wanita kongsi detik akhir ibu sebelum meninggal dunia.
  • Dia terhidu bau harum ketika mengucup dahi arwah.
  • Ibunya sakit rheumatoid arthritis lama sehingga wanita ini hampir usia 30 tahun.
  • Arwah akhirnya lumpuh dan terlantar akibat sakit dialami.
  • Kini dia reda, percaya ibunya tidak lagi sakit.

Apabila ditanya oleh netizen mengenai amalan arwah sehingga dikurniakan tanda-tanda kematian yang baik, wanita itu mengakui dia sendiri kurang pasti kerana tidak tinggal bersama ibunya.

"Apa yang saya nampak... lepas Subuh, arwah mengaji sampai solat Dhuha. Lepas Asar mungkin dia akan baca al-Mathurat atau mengaji.

"Lepas Maghrib umi mengaji, termasuk juga lepas Isyak mengaji lagi dan baca surah al-Mulk. Itu sahaja yang saya tahu," jelasnya membalas komen warga maya.

Mengakhiri perkongsian itu, wanita berkenaan berkata dia reda dengan pemergian ibunya dan percaya arwah kini tidak lagi menanggung kesakitan yang dialami selama puluhan tahun.

Artikel Lain