suria

Tip wanita kepada wanita… Ini cara paling cerdik semak status calon suami, mesti ramai buaya darat ‘panas punggung’

Hati wanita pastinya terluka jika ditipu lelaki yang mereka cintai. -Gambar hiasan AI

SEGELINTIR lelaki sanggup menipu status serta latar belakang sebenar mereka demi memikat hati wanita.

Ada yang berstatus suami orang tetapi mengaku bujang, tak kurang juga si duda menipu kononnya belum pernah mendirikan rumah tangga.

Malah, penipuan seperti ini kadangkala hanya terbongkar selepas perkahwinan berlangsung, sekali gus menghancurkan hati wanita.

Di Threads, seorang wanita berkongsi langkah mudah yang boleh dilakukan oleh kaum Hawa untuk menyemak latar belakang bakal pasangan.

"Hari ini aku pergi pejabat agama. Aku nak check status seorang lelaki ni. Dia cakap dekat aku yang dia bujang dan tak pernah kahwin.

"Dia mengaku pernah putus tunang sekali. Aku bagi nombor MyKad dia dekat pejabat agama. Sekali dengan nama penuh.

Ada lelaki berstatus suami orang mengaku bujang demi memikat wanita. -Gambar hiasan AI

"Kakitangan tu semak dan maklumkan dia pernah kahwin dua kali. Yang pertama sudah cerai. Yang kedua masih berstatus isteri," kongsinya.

Menurut wanita itu lagi, dia bersyukur kerana penipuan lelaki berkenaan terbongkar sebelum hubungan mereka semakin serius.

"Alhamdulillah kali ini Allah tunjuk awal-awal dekat aku. Doakan aku kuat. Saya rasa sedih sebab mamat ni okey daripada segi lain. Tapi rupanya menipu.

"Kakitangan pejabat agama kata dia boleh semak status, tapi tak boleh beritahu dia kahwin dengan siapa atau di mana," tulisnya lagi.

Beberapa lagi wanita turut meninggalkan komen mereka berhubung topik itu.

"Bagus usaha kamu. Wanita-wanita bolehlah semak status lelaki sebelum nak kenal lebih lagi.

"Ini barulah gadis yang cerdik. Tahniah dik, kau memang cerdik.

"Aku pernah semak macam ni untuk kawan. Rupanya lelaki tu dah kahwin," tulis netizen.

Artikel Lain