suria

[V] Ingatkan tikus liar! Video selamatkan hamster sesat di jalan raya raih 14 juta tontonan, pemuda serah kepada polis cari pemiliknya

Perkongsian seorang lelaki yang menemui hamster liar menjadi tular di laman X.

SEORANG lelaki meraih perhatian dan pujian warga maya selepas menyelamatkan seekor hamster yang berkeliaran di jalan raya. 

Menerusi satu hantaran di platform X, lelaki tersebut memaklumkan dia menemui hamster berkenaan di kawasan Shimanouchi, Osaka, Jepun sekitar pukul 9 malam, Rabu lalu (13 Mei).

Menurutnya, dia bertindak menyelamatkan haiwan kecil itu selepas melihat ia hampir dilanggar kenderaan yang melalui kawasan tersebut.

"Saya jumpa seekor hamster liar. Ia hampir dilanggar kereta, jadi saya selamatkannya," tulisnya.

Dia turut memberitahu hamster itu akan dibawa ke balai polis bagi membolehkan pemiliknya dikesan.

Video yang dimuat naik menunjukkan hamster berkenaan berlari-lari di atas jalan sebelum melintasi longkang di tepi jalan.

Satu lagi gambar memperlihatkan hamster itu berada di dalam kotak kadbod beralaskan kain biru selepas diselamatkan lelaki berkenaan.

Lelaki terbabit turut meminta bantuan orang ramai untuk menyebarkan perkongsiannya dan berharap pemilik haiwan itu tampil dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, jika tiada individu datang menuntut hamster berkenaan, haiwan itu berkemungkinan dipindahkan ke pusat perlindungan haiwan tempatan.

Setakat ini, hantaran tersebut telah meraih lebih 14 juta tontonan dan 132,000 tanda suka.

Dalam kemas kini terbaharu di ruangan komen, lelaki itu berkata dia telah berbincang dengan pihak berkuasa dan meminta supaya dimaklumkan sekiranya hamster itu masih tidak dituntut.

"Saya beritahu mereka, jika tiada pemilik ditemui, sila hubungi saya. Saya sendiri akan menjaganya terlebih dahulu dan mencari keluarga angkat yang benar-benar boleh dipercayai untuk memeliharanya," katanya.

Dia turut mengakui mula berasa sayang terhadap haiwan itu walaupun hanya seketika menjaganya.

"Saya baru sahaja menyerahkannya kepada polis, tetapi ia terlalu comel sehingga saya mula rasa sedih untuk melepaskannya," katanya. -Agensi

 

Artikel Lain