suria

Pemuda ketagih judi curi 1,000 permainan kanak-kanak, taktik jual di pusat kitar semula terbongkar

Pemuda terbabit mengaku melakukan kegiatan mencuri permainan kanak-kanak demi mendapatkan duit untuk berjudi. -Gambar hiasan AI

SEORANG penganggur ditahan polis selepas mencuri lebih 1,000 permainan kanak-kanak dari beberapa buah kedai sebelum menjual semula barangan tersebut bagi mendapatkan wang.

Suspek yang berusia 24 tahun dipercayai menggunakan wang tersebut untuk berjudi.

Shu Matsuo ditahan di Tokyo, Jepun atas dakwaan mencuri 20 kereta api mainan bernilai 143,000 yen (kira-kira RM4,300) dari sebuah kedai permainan di kompleks beli-belah di daerah Koto pada 9 Mac lalu.

Berdasarkan laporan polis pada Jumaat, lelaki yang berasal dari Yokohama itu dipercayai aktif mencuri pelbagai barangan seperti kereta api mainan dan patung sejak awal tahun ini.

Siasatan mendapati suspek didakwa menjual semula hasil curiannya di pusat kitar semula melalui 40 transaksi dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah 1.4 juta yen (sekitar RM35,174).

Ketika disoal siasat, Matsuo mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut.

Dia turut memberitahu polis wang hasil jualan digunakan untuk bermain pachinko, sejenis permainan judi popular di Jepun.

"Saya perlukan duit untuk bermain pachinko. Saya sasarkan kedai permainan pada waktu pagi ketika pelanggan dan pekerja kurang," katanya.

Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada suspek terlibat dalam lebih banyak kes kecurian di sekitar bandar berkenaan. -Agensi

Artikel Lain