suria

Sebar maklumat palsu harga petrol dan diesel menyerupai kandungan berita, wanita didenda RM4,000

Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan kenaikan harga petrol dan diesel. – Foto MCMC

SEORANG wanita dihadapkan di Mahkamah Sesyen Sepang pada Isnin atas pertuduhan menyebarkan maklumat palsu berkaitan harga petrol dan diesel.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan memaklumkan, tertuduh Nur Irsalina Omar Kumar mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan akaun Threads miliknya “@its.ellsaleena_” dengan memuat naik hantaran yang telah disunting menyerupai kandungan rasmi Buletin TV3, pada 31 Mac lalu.

Hantaran tersebut mengandungi maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan telah mengelirukan orang ramai serta mencetuskan kegusaran awam berhubung isu kos sara hidup.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh bagaimanapun menjelaskan bayaran denda itu.

MCMC menegaskan, penyebaran maklumat palsu, khususnya melibatkan isu kepentingan awam, boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi serta menggunakan platform dalam talian secara bertanggungjawab.

Artikel Lain