suria

Makcik bertelekung pandu Kelisa merah lawan arus di DASH… Salah jalan lepas solat di masjid

Rakaman dashcam seorang penunggang motosikal yang membantu pemandu warga emas di Lebuhraya DASH.

 

RAKAMAN video seorang wanita warga emas yang memandu lawan arus di Lebuhraya Bertingkat Damansara - Shah Alam (DASH), mendebarkan warga maya.

Lebih membimbangkan apabila kenderaan jenis Perodua Kelisa berwarna merah itu didapati bergerak perlahan di lorong kanan laluan berkenaan dengan keadaan beberapa pengguna jalan raya sedang memandu laju.

Berdasarkan klip tular yang dirakam seorang penunggang motosikal, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.12 malam Isnin lalu.

Warga emas berkenaan dilihat memakai telekung berwarna putih dan seolah-olah dalam keadaan panik kerana enggan memberhentikan kenderaan apabila diminta.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja p-hailing kritikal dirempuh pemandu Bezza mabuk lawan arus - “Dia sedang cari rezeki halal”

Pada masa sama, seorang pemandu kereta berwarna putih yang berada di lorong bersebelahan cuba mengikut rapat bagi membantu warga emas terbabit.

Dia bagaimanapun memberhentikan kenderaan selepas beberapa kali dihon penunggang motosikal berkenaan.

Menurut penunggang motosikal itu, warga emas terbabit baru sahaja pulang dari masjid dan tersalah masuk lorong ketika memandu ke rumahnya.

Situasi yang berlaku itu membuatkan dia berterusan memandu di laluan bertentangan meskipun mengundang pelbagai risiko kemalangan dan membahayakan.

"Lawan arus di DASH, makcik ni baru balik masjid dan cakap dia salah jalan. Anak-anak tolong pantau mak korang ni," demikian hantarannya di Thread.

Reaksi netizen.

Reaksi netizen.

Tambah lelaki ini, dia kemudiannya meminta bantuan peronda lebuh raya bagi membantu wanita warga emas terbabit.

"Nak guna waze pun makcik ni tak tahu, terpaksa hubungi peronda DASH untuk bantu," jelasnya.

Kejadian yang berlaku itu membuatkan warga maya mencadangkan supaya had umur memandu ditetapkan pada usia 65 tahun.

"Kerajaan perlu hadkan umur memandu kepada 65 sahaja, lepas usia tu mereka kena pergi ambil balik ujian dan valid untuk setahun.

"Tolong sorok kunci kereta sebab orang tua ni tetap buat juga walau dah dilarang.

"Nampak gaya makcik ni dah tak fit untuk memandu, anak-anak tolong nasihat mak korang supaya solat di rumah saja," demikian reaksi netizen.

 

Artikel Lain