suria

Lepas makan ayam gepuk viral, adik alami detik cemas disahkan hidap kencing tikus - “Dia nampak macam mayat hidup”

Cirit-birit dan muntah antara simpom awal dijangkiti penyakit kencing tikus. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita tampil berkongsi detik cemas apabila adiknya disahkan menghidap penyakit kencing tikus, dipercayai selepas menikmati hidangan ayam gepuk yang dibeli di sekitar Ampang, Selangor, minggu lalu.

Dakwa wanita itu, adiknya mula mengalami muntah dan cirit-birit selama dua hari selepas menikmati hidangan berkenaan. 

"Ada satu pagi tu dia jatuh bilik air dan tak boleh bangun. Oleh kerana waktu tu sekitar pukul 4 pagi dan tak ada orang dengar, dia terpaksa mengesot masuk bilik.

"Esoknya dia dah mula demam dan apabila masuk bilik air, dia jatuh lagi sebab pitam. Dia menggigil dan badannya kebas, selain muntah serta cirit pada masa yang sama," katanya di Thread.

Situasi itu menyebabkan adiknya dibawa ke unit kecemasan hospital dan pemeriksaan awal mendapati kandungan garam dalam badan terlalu rendah.

"Dia dibenarkan balik tapi dua hari kemudian masih demam, cirit dan muntah. Jadi kami bawa dia dapatkan rawatan di klinik kesihatan," katanya.

Menurutnya, doktor memberikan rawatan tambah air dan antibiotik kerana adiknya mengalami dehidrasi teruk walaupun sebelum itu pihak hospital menganggap simptom dialami hanyalah demam virus.

"Apabila dah dapat keputusan ujian darah, bacaan platelet terlalu rendah sebelum  dirujuk semula ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

“Hasil ujian memang sah dia kena kencing tikus. Tengok dia dekat zon kuning tu memang nampak macam mayat hidup sebab terlalu tak larat,” katanya.

Terkesan dengan apa yang berlaku, wanita ini sempat menitipkan pesanan agar orang ramai lebih berhati-hati dalam memilih kedai makan dan sentiasa mengutamakan kebersihan bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit berbahaya.

"Aku tak tahu kedai ayam gepuk mana yang dia pergi. Padahal kalau kat rumah, dia akan cuci sudu garfu dulu sebelum makan," katanya.

Perkongsian tular itu menarik perhatian netizen, malah ada di antara mereka yang turut berkongsi pengalaman ngeri yang sama selepas makan ayam gepuk di kawasan Ampang.

"Saya pernah kena juga selepas makan ayam gepuk di Ampang... viral sebab sedap. Malam tu muntah cirit air semua. Sampai lembik. Lebih 10 Kali keluar masuk tandas.

"Anak saya makan ayam gepuk yang viral kotor baru-baru ni. Lepas makan dia muntah-muntah dan cirit-birit. Saya pangkah dah kedai tu," komen netizen.

Artikel Lain