TINDAKAN segelintir penghuni rumah flat di sekitar Setiawangsa, Kuala Lumpur yang didakwa melakukan ubah suai kediaman secara melampau kini sedang hangat diperkatakan dan menarik perhatian ramai.Siri pengubahsuaian 'berani mati' ini terbongkar selepas seorang warga maya berkongsi gambar menunjukkan beberapa unit kediaman yang diubah suai secara drastik. Ini termasuklah binaan struktur tambahan seperti balkoni serta struktur bumbung baharu yang langsung tidak selaras dengan reka bentuk asal bangunan."Dekat Setiawangsa. Flat tingkat dua dan tiga extend luar lebih 500 kaki persegi. Siap ada balkoni. Gila berani," kongsi lelaki tersebut.Berdasarkan foto tular itu, jelas kelihatan sekurang-kurangnya terdapat enam buah kediaman diubah suai sesuka hati, termasuklah sebuah unit yang terletak di tingkat tiga.Perkongsian itu mencetuskan persoalan dalam kalangan warga maya mengenai tahap penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan, selain kebimbangan terhadap keselamatan struktur bangunan berkenaan.Tidak hanya itu, isu parkir turut menjadi rungutan apabila ada kawasan yang didakwa diubah menjadi ruang perniagaan peribadi serta tapak lambakan kenderaan terbiar sehingga mengganggu keselesaan penghuni lain."Dekat area Setiawangsa, Keramat dan AU3, flat semua ramai extend, mana menteri? Takkan tak ronda?"Itu belum lagi parking dia cop, parking buat kedai makan, parking jadi tempat tukun kereta," luah netizen. Mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), semua kerja ubah suai bangunan tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah satu kesalahan, dan tindakan penguatkuasaan termasuk notis serta perobohan boleh dikenakan terhadap pemilik terlibat.