suria

Tak cukup hanya panggilan telefon, Yusry kekok bila berjauhan dengan isteri... “Itu juga menyakitkan sebab Lisa tiada di sini”

Yusry akui hidup terasa berbeza bila tiada isteri di sisi.

PERTAMA kali berjauhan dalam tempoh yang lama, pelakon dan penerbit Datuk Yusry mengakui berdepan fasa sukar apabila terpaksa menahan rindu terhadap isterinya, Datin Lisa Surihani yang kini sedang menunaikan ibadah haji sejak 7 Mei lalu.

Menurut Yusry atau Yusry Abdul Halim, 53, ketiadaan Lisa memberi kesan yang cukup besar buatnya dalam menjalani rutin harian.

“Ketika ini antara fasa yang agak berat. Kadang-kadang bila sedih dan susah, kita mahu ada orang yang menyokong.

Yusry akui sukar berjauhan dengan Lisa. 

“Tetapi apabila kita gembira pun, seperti kejayaan watak saya yang kini tular, tiada siapa untuk berkongsi rasa itu. Itu juga menyakitkan sebab Lisa tiada di sini.

“Watak saya tular dengan Tracie, saya pula jenis yang memikirkan perasaan pasangan. Walaupun Lisa tidak cakap apa-apa, saya sentiasa bayangkan kalau saya di tempat dia, apa agaknya yang dia rasa,” katanya kepada mStar.

Yusry berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi temu bual drama Dendam Seorang Mentua yang berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Yusry gagal rayuan haji, Lisa Surihani percaya ada hikmah... “Mungkin abang lebih diperlukan untuk jaga anak-anak” 

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang timbul fitnah, Yusry rawat masalah lingkaran gelap bawah mata

Tambah Yusry, dia sering meluahkan rasa rindu itu kepada isterinya menerusi panggilan telefon, namun tetap merasakan ia tidak mencukupi.

“Memang rindulah. Saya selalu cakap dengan dia yang dia sentiasa ada dalam hati saya. Tapi kadang-kadang kita nak tunjuk juga perasaan itu secara bersemuka,” kongsinya.

Dalam pada itu, Yusry kini mengambil peranan sebagai ‘bapa sepenuh masa’ sepanjang ketiadaan Lisa, termasuk menguruskan anak-anak mereka.

Ketika ini antara fasa yang agak berat

DATUK YUSRY ABDUL HALIM

PELAKON/PENGARAH 

“Alhamdulillah, kebetulan minggu ini mereka ada peperiksaan. Jadi sekarang saya memang jadi ‘full-time dad’.

“Pagi hantar ke sekolah, petang ambil. Tambahan pula pembantu rumah pun baru bertukar, jadi saya tidak boleh bergantung 100 peratus. Biasalah, urus anak-anak memang mencabar,” jelasnya.

Sebelum ini, Yusry meluahkan rasa rindu terhadap Lisa menerusi hantaran di Threads selepas isterinya berangat ke Tanah Suci. 

Yusry dan Lisa bersama tiga cahaya mata mereka. 

Untuk rekod, Yusry dan Lisa mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012.

Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, 11, Yusof Leonne, 9, dan Yunos Laith, 5.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain