TENTERA Darat Malaysia (TDM) sedang menyiasat gambar tular membabitkan salah seorang anggotanya yang ditayangkan di sebuah premis hiburan pada Isnin lalu.
Sel Perhubungan Raya Markas TDM berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penularan gambar tersebut di aplikasi TikTok, memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam tentera dengan latar belakang logo Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di lokasi berkenaan.
"TDM memandang serius perkara ini dan anggota terbabit sedang disiasat oleh Cawangan Penyiasatan Khas (CPK)," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan berkenaan lagi, siasatan akan memberi tumpuan kepada bagaimana insiden itu berlaku dan mengenal pasti jika terdapat sebarang unsur pencemaran keselamatan sama ada terhadap anggota yang berkenaan atau TDM.
"Selain itu, siasatan juga akan menentukan sama ada terdapat penglibatan anasir subversif lain dalam kejadian itu.
"Sekiranya didapati bersalah, anggota itu mungkin berdepan tindakan tatatertib mengikut peraturan sedia ada kerana melanggar etika sebagai seorang anggota tentera dan mencemarkan nama baik TDM," katanya.
Tambahnya, TDM juga akan meningkatkan pemantauan penggunaan media sosial untuk mengelakkan insiden seperti itu berulang.
"Walaupun paparan itu bersifat peribadi, imej anggota tentera di tempat yang tidak sepatutnya dan untuk tujuan tidak bermoral boleh mengundang persepsi negatif dan mencemarkan nama baik TDM," tambahnya.
Sejak Rabu, tular di TikTok gambar seorang lelaki dengan berpakaian seragam tentera ditayang di sebuah premis hiburan, sekali gus mengundang reaksi daripada warga maya.
Difahamkan, tayangan tersebut dibuat sempena ulang tahun perkenalan bersama pasangannya. -The Star


